Peniaga gerai dalam pasar basah di bawah kendalian Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) kecewa apabila mendakwa tidak dimaklumkan mengenai kenaikan caj perjanjian bagi sewaan premis untuk tahun depan.
Kebanyakan penyewa yang ditemui mendakwa tidak mendapat notis pemberitahuan berkaitan hal itu sehingga diminta memperbaharui perjanjian sewaan gerai bermula semalam.
Peniaga santan segar, Asri Nazri, ketika ditemui di Pasar Balok, dekat Kuantan, Pahang memberitahu, dia terkejut apabila diminta membayar caj perjanjian RM108 berbanding RM30 sebelum ini.
"Selepas tiga tahun berniaga di sini, saya fikir kenaikan caj perjanjian untuk tahun depan agak tinggi dan mengejutkan.
"Bayaran untuk lesen (Sebanyak RM122), mereka (MBK) kekalkan, tapi caj perjanjian pula naik 260 peratus.
"Dulu caj perjanjian dalam RM30 sahaja, untuk tahun depan dah jadi RM108... memang tinggi saya rasa," katanya.
Asri turut mendakwa pihak MBK tidak melakukan penyelenggaraan dengan baik, terutamanya membabitkan kemudahan asas di Pasar Balok, walaupun aduan sudah beberapa kali dibuat.
Katanya, terdapat lampu dalam pasar itu tidak berfungsi hingga menyukarkan pelanggan dan peniaga menjalankan urus niaga.
"Macam saya yang berniaga santan, sekitar jam 6 pagi sudah sampai di sini dan satu barisan lampu untuk laluan gerai saya tidak menyala sejak beberapa bulan lalu.
"Saya ambil inisiatif sendiri pasang lampu untuk memudahkan pelanggan kerana ada yang mengadu susah nak berjalan dalam gelap," ujarnya.
Sementara itu, peniaga ayam, Ali Akbar Othman yang sudah berniaga di situ sejak 15 tahun lalu, mengakui terkejut dengan tindakan MBK menaikkan caj perjanjian sewa gerai tanpa memaklumkan peniaga.
Katanya, pihak MBK hanya menghantar makluman mengenai tarikh untuk menandatangani perjanjian sewaan tanpa menyertakan maklumat lengkap berkaitan nilai caj perjanjian baru.
"Jadi, saya rasa macam kena 'scam' pula, bila datang ke pejabat MBK untuk urusan perjanjian sewa tahun depan, rupanya ada bayaran tambahan untuk caj perjanjian.
"Mereka juga minta kami selesaikan segala jenis tunggakan yang ada... saman parkir dan cukai pintu kena jelaskan dulu, baru boleh tandatangan perjanjian.
"Ini menyusahkan peniaga kerana hal berkaitan tunggakan saman parkir atau hal lain, tidak ada kaitan dengan sewa gerai yang kami usahakan," katanya.
Dia berharap pihak MBK lebih profesional dalam menguruskan hal berkaitan perjanjian sewa gerai supaya tidak membebankan peniaga.
Kena jelaskan tunggakan sewa
Dalam pada itu, seorang peniaga ikan di Pasar Besar Kuantan, Mariah Zahari memaklumkan dia berdepan risiko tidak dapat berniaga tahun depan kerana mempunyai tunggakan sewa rumah di bawah kendalian MBK berjumlah RM2,500.
Katanya, perkara itu hanya diketahuinya semalam ketika ke pejabat MBK untuk menandatangani perjanjian baharu.
"Mereka minta saya jelaskan tunggakan sewa rumah sebelum Jumaat ini baru boleh tanda tangan perjanjian.
"Mana saya nak cari duit sebanyak itu dalam masa singkat, patutnya mereka lebih bertimbang rasa dan menawarkan penyelesaian lebih logik kepada kami.
"Saya pun tak tahu pasal kenaikan caj perjanjian... sekarang baru saya tahu, ada kenaikan lain pula.
"Sekarang berniaga pun bukan macam dulu, susah nak dapat untung, apa lagi untuk menyimpan, jadi memang tak tahulah bagaimana nak selesaikan perkara ini," katanya yang kesal dengan tindakan pihak MBK dalam menangani perkara itu.
Malaysiakini sedang menghubungi pihak MBK untuk mendapatkan maklum balas.