Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Zuraida dapat ‘diskaun’ RM9.9 juta, mahu bayar guna duit RM1
Diterbitkan:  Dec 11, 2024 1:40 PM
Dikemaskini: Dec 12, 2024 3:13 AM

Mahkamah Rayuan mengurangkan perintah bayaran RM10 juta kepada hanya RM100,000 kepada Zuraida Kamaruddin kerana keluar PKR selepas menang pilihan raya menggunakan lambang parti itu.

Panel tiga hakim terdiri daripada See Mee Chun, Azman Abdullah dan Ahmad Kamal Md Shahid sebulat suara mengenepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur tahun lalu. 

Zuraida antara sekumpulan anggota parlimen PKR yang mengalihkan sokongannya kepada kumpulan parti diketuai Muhyiddin Yassin melalui gerakan politik Langkah Sheraton.

Tindakan itu menyebabkan Zuraida diheret ke mahkamah kerana didakwa melanggar syarat bon RM10 juta yang mengikatnya dengan PRK.

Ketua pasukan pembelaan Azhar Azizan Harun dilaporkan berkata, mahkamah memutuskan jumlah RM10 juta sebagai tidak munasabah. 

Katanya, pada pendapat hakim, jumlah yang munasabah hanya perbelanjaan ketika pilihan raya yang dibenarkan bawah undang-undang untuk sesuatu kawasan parlimen, iaitu RM200,000.

Ia juga, katanya, perlu mengambil kira tempoh 22 bulan Zuraida berkhidmat menjadi wakil rakyat PKR.

Sementara itu, Zuraida berkata  dia akan membuat bayaran menggunakan wang kertas RM1, bermaksud dia perlu menyediakan 100,000 keping not berkenaan.

"Walaupun mereka sudah jadi kerajaan, mereka masih mengutip derma, jadi kita bagilah mereka.

"Kalau ikut hati saya, saya tak mahu bayar walau RM1 pun," dia dipetik sebagai berkata selepas prosiding rayuan di Putrajaya hari ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS