Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Asyraf Wajdi ingatkan dosa berhutang lepas rumah Che Ta diserbu
Diterbitkan:  Dec 11, 2024 8:31 AM
Dikemaskini: 12:31 AM

Pengerusi Mara, Asyraf Wajdi Dusuki hari ini mengingatkan orang ramai mengenai besarnya kesalahan culas membayar hutang.

Melalui hantaran ringkasnya yang memetik hadis Nabi Muhammad SAW pagi ini, Asyraf Wajdi berkata, kesalahan berhutang tidak akan dihapuskan oleh Tuhan walaupun individu terbabit mati dalam keadaan syahid.

"Dosa hutang tidak diampun walaupun mati syahid.

"Rasulullah SAW bersabda (bermaksud): Semua dosa orang yang mati syahid akan diampuni kecuali hutang." katanya.

Hantaran itu mengiringi pandangan dilontarkan Setiausaha Agung Umno itu malam tadi - juga mengenai kesalahan berhutang dan enggan melunaskannya.

Kata Asyraf Wajdi Mara tidak semberono atau memilih bulu semasa mengambil tindakan ke atas pihak yang membuat pinjaman daripada agensi itu namun enggan menunaikan janji mereka membayar balik.

Datang kali kedua

Bahkan, katanya lagi, Mara mementingkan nilai ihsan dalam urusannya, justeru memberi ruang kepada pemimjan bermasalah berunding dengan mereka bagi membincangkan penstrukturan hutang.

"Namun jika semua usaha ini masih culas, sengaja tidak mahu membayar (procrastination) walaupun berkemampuan, bahkan boleh pula memperagakan kemewahan di media sosial, Mara tidak teragak-agak mengambil tindakan perundangan.," katanya.

Kenyataan itu tidak menyasarkan sesiapa secara khusus namun muncul selepas Mara menyerbu rumah pasangan selebriti, Rozita Che Wan dan Zain Saidin, di Petaling Jaya, Selangor semalam.

Menurut media, langkah itu diambil pegawai Mara bersama wakil peguam berhubung isu kegagalan pasangan terbabit melunaskan pinjaman bernilai hampir RM1 juta.

Menurut peguam yang dipetik BH Online, semalam adalah kali kedua pihak Mara berkunjung ke rumah terbabit selepas gagal mendapat kerjasama pada bulan lalu.

Semalam, katanya, Mara memperoleh kebenaran daripada mahkamah untuk masuk ke rumah terbabit.

Dilaporkan sejumlah barangan peribadi pelakon dan usahawan terbabit - bernilai hampir RM100,0000 - disita.

Kata Asyraf Wajid, tindakan mahkamah adalah jalan terakhir diambil Mara bagi mendapatkan hutang yang dipinjam.

"Ia diambil bagi memastikan setiap sen wang rakyat dapat dikutip semula untuk manfaat orang lain pula," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS