Seorang pemimpin Umno mempersoal kegagalan kerajaan menjawab mengenai kewujudan titah adendum diraja yang dikatakan mencadangkan tahanan rumah untuk Najib Razak.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Mohd Puad Zarkashi, berkata rakyat ingin mengetahui kewujudan titah berkenaan, bukannya sama ada titah adendum itu dibincangkan mesyurat Lembaga Pengampunan atau tidak.
"Rakyat tanya titah adendum itu wujud atau tidak? Rakyat tidak tanya titah adendum itu dibincang dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan. Soalan mudah," katanya dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.
Kenyataan Mohd Puad dibuat selepas Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengulas perkara itu di Parlimen, hari ini.
Terdahulu, Anwar hari ini enggan mengesahkan sama ada terdapat titah adendum diraja oleh Yang di-Pertuan Agong sebelum ini, Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang membenarkan tahanan rumah Najib atau tidak.
Anwar berkata dia tidak boleh mengulas kerana terbatas oleh undang-undang.
Bagaimanapun, dia berkata memandangkan perkara itu terus berbangkit, dia mencadangkan agar Agong sekarang, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mempertimbangkan perkara itu.
"Memandangkan perkara ini terus berbangkit, saya telah mencadangkan untuk dipertimbangkan oleh Yang di-Pertuan Agong sekarang, untuk - pada masa yang dirasakan sesuai oleh Agong - merujuk perkara itu kepada Lembaga Pengampunan yang akan dipengerusikan oleh Agong," katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Dia berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan Sheikh Mohmed Puzi Sheikh Ali (BN-Pekan) yang bertanya sama ada Anwar bercadang untuk mengadap Sultan Pahang - yang didakwa mengeluarkan titah adendum itu - untuk menyelesaikan perkara berkenaan.