Paling Popular
Terkini

Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini enggan mengesahkan sama ada terdapat titah adedendum diraja oleh Yang di-Pertuan Agong sebelum ini, Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang membenarkan tahanan rumah Najib Razak atau tidak.

Anwar berkata dia tidak boleh mengulas kerana terbatas oleh undang-undang.

Bagaimanapun, dia berkata memandangkan perkara itu terus berbangkit, dia mencadangkan agar Agong sekarang, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mempertimbangkan perkara itu.

"Memandangkan perkara ini terus berbangkit, saya telah mencadangkan untuk dipertimbangkan oleh Yang di-Pertuan Agong sekarang, untuk - pada masa yang dirasakan sesuai oleh Agong - merujuk perkara itu kepada Lembaga Pengampunan yang akan dipengerusikan oleh Agong," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Dia berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan Sheikh Mohmed Puzi Sheikh Ali (BN-Pekan) yang bertanya sama ada Anwar bercadang untuk mengadap Sultan Pahang - yang didakwa mengeluarkan titah adendum itu - untuk menyelesaikan perkara berkenaan.

Terdahulu, Anwar ditekan oleh Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) untuk mengesahkan sama ada adendum itu wujud atau tidak.

Bagaimanapun, perdana menteri berkata dia tidak boleh menjawab buat masa ini dengan memetik peraturan Parlimen yang menghalang perbincangan subjudis untuk kes mahkamah yang sedang berjalan.

Dia menambah bahawa perdana menteri tidak dibenarkan mengulas keputusan yang dibuat oleh Agong berhubung pengampunan - melainkan jika ada kebenaran daripada Agong atau perkara itu diselesaikan di mahkamah.

Justeru, dia memberi jaminan akan memberikan jawapan di parlimen sebaik sahaja pertikaian mahkamah berhubung titah adendum itu diselesaikan pada Januari.

Dalam pada itu, Anwar hanya mengesahkan bahawa dia yang membawa permohonan pengampunan Najib kepada Agong sebelumnya - Sultan Abdullah - pada Dis 2023, memetik hak untuk rayuan bekas perdana menteri itu didengari.

Bagaimanapun, dia menegaskan bahawa titah adendum yang didakwa itu tidak dibincangkan pada masa itu.

Dalam jawapannya kepada Anwar, Takiyuddin mempersoalkan kebenaran afidavit yang dirujuk anak Najib, Mohd Nizar Mohd Najib Razak, dengan mendakwa wujudnya titah adendum itu.

"Kenapakah selama ini pihak kerajaan tidak bercakap benar mengenai kewujudan atau tidak adendum ini? Apakah ini bukan satu pendustaan dan penderhakaan kepada titah perintah bagi Agong dan ini juga terkandung dalam satu perkara yang dianggap di segi undang-undang wrongful imprisonment?

"Kalau ia ada melanggar peraturan, rakyat Malaysia mahu penjelasan," katanya.

Anwar menjawab dengan mempersoalkan kelayakan undang-undang Takiyuddin, merujuk kembali kepada peraturan menghalang subjudis.

Dia juga menyifatkan pembangkang mencari aksi politik murahan, kerana sebelum ini menghentam Najib namun kini mempertahankannya.

"Hipokrasinya kini tiba-tiba dia jadi juara (bela) Najib," katanya.

Selasa lalu (5 Dis), Nizar memfailkan afidavit yang mengesahkan bahawa Sultan Pahang memberitahunya tentang kewujudan titah adendum diraja untuk bekas perdana menteri itu menjalani baki hukuman penjara enam tahun dalam tahanan rumah.

Sumber yang rapat dengan perkara itu mengesahkan dengan Malaysiakini bahawa Nizar memfailkan afidavit itu sebagai sebahagian daripada permohonan untuk mengemukakan bukti tambahan.

Difahamkan terdapat perintah mahkamah yang menyekat orang ramai daripada mendapat akses kepada dokumen itu melalui carian fail dalam talian di laman web rasmi badan kehakiman.

Mengikut afidavit lima muka surat yang dilihat Malaysiakini, Nizar mendakwa bahawa pihak istana negeri memaklumkan kepadanya mengenai dakwaan titah adendum itu semasa dia berada di majlis pelancaran Kompleks Keraf Diraja Tuanku Azizah di Pulau Keladi di Pekan, Pahang, pada 4 Ogos antara 8 malam dan 9 malam.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS