Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kami tentang rasuah dalam apa jua bentuk - DAP Sabah
Diterbitkan:  Dec 10, 2024 8:30 AM
Dikemaskini: 1:07 AM

DAP Sabah sedang memantau skandal rasuah di negeri itu dan menyokong SPRM dalam menjalankan siasatan menyeluruh terhadap dakwaan berkenaan, kata setiausahanya Vivian Wong.

Menyambut baik jaminan Ketua Menteri Hajiji Noor bahawa tiada lesen perlombongan dikeluarkan, DAP Sabah juga menggesa SPRM memberi keutamaan kepada kes itu serta mengendalikannya dengan telus dan berintegriti.

"Ini merupakan satu kelegaan kerana jumlah sumber semula jadi yang luar biasa telah berjaya dilindungi untuk manfaat Sabah.

“Namun, pendirian kami tetap jelas: DAP sebagai sebahagian daripada kerajaan menentang rasuah dalam apa jua bentuk dan percaya kepada keadilan serta siasatan yang adil,”katanya dalam satu kenyataan semalam.

Kenyataan itu dibuat sehari selepas ahli majlis tertinggi Warisan, Calvin Chong mempersoalkan sikap berdiam diri DAP berhubung skandal itu.

Terdahulu, ketua penerangan PKR Sabah Razeef Rakimin menggesa agar kerajaan Sabah dibenarkan berfungsi seperti biasa sementara menunggu siasatan, di tengah-tengah desakan supaya Hajiji berundur .

Skandal rasuah itu timbul bulan lalu apabila bekas Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Mineral Management (SMM) Jontih Enggihon mendakwa Hajiji menyalahgunakan kuasanya sebagai pengerusi SMM.

Dalam video yang dirakam pada 1 Okt, Jontih mendakwa Hajiji mengganggu proses pemilihan untuk mendapatkan lesen cari gali sumber mineral di Sabah dengan memihak kepada kontraktor tertentu.

Video itu adalah salah satu daripada beberapa video yang dikeluarkan oleh pemberi maklumat, membabitkan beberapa Adun Sabah dalam beberapa siri dakwaan rasuah.

Hajiji bagaimanapun menafikan dakwaan rasuah tersebut dan menyifatkannya sebagai cubaan untuk menggugat kestabilan kerajaan negeri dan mencemarkan nama baiknya.

Dia juga mendedahkan bahawa tiada lesen melombong dikeluarkan.

Sebaliknya, 26 lesen cari gali telah dikeluarkan di bawah Seksyen 6 Ordinan Perlombongan Sabah 1960 dalam tempoh dua tahun lepas.

Daripada jumlah itu, dua telah ditarik balik oleh pemegang lesen, satu dibatalkan dan empat telah tamat tempoh.

Dia berkata ini berlaku disebabkan beberapa faktor termasuk kekurangan kemajuan penerokaan dalam tempoh tersebut, kegagalan mendapatkan persetujuan daripada pemegang Perjanjian Lesen Pengurusan Hutan Lestari dan Jabatan Perhutanan untuk akses ke kawasan itu, atau kerana kawasan itu berada dalam Kawasan Perlindungan Sepenuhnya atau zon tadahan air yang sensitif.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS