ADS
mk-logo
Berita
ULASAN | Magis Piala AFF dalam bola sepak Malaysia

Piala Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) tetap mempunyai tarikannya tersendiri di sebalik perubahan landskap sukan ini di peringkat Asia.

Dalam kalangan peminat bola sepak Malaysia, kejayaan pasukan kebangsaan menjuarai pertandingan ini pada tahun 2010 diperkatakan sehingga kini.

Nama-nama seperti Safee Sali, Mat Yo (Norshahrul Idlan Talaha), Mahali Jasuli, Khairul Fahmi Che Mat, merupakan antara yang meniti di bibir peminat bola sepak tanah air ketika itu.

Tidak terkecuali juga nama jurulatih pasukan kebangsaan ketika itu, K Rajagobal, yang sebelum itu mencipta sejarah menamatkan penantian Malaysia 20 tahun untuk pingat emas Sukan SEA pada tahun 2009. 

Safee Sali
ADS

Gara-gara kemenangan ini juga warna biru yang menjadi jersi Harimau Malaya pada saat kemenangan ini, menjadi pilihan “utama” dalam kalangan peminat bola sepak tempatan.

Bahkan tumpuan sudah mula diberikan kembali kepada liga tempatan serta pasukan yang bertanding. 

Faktor magis Piala AFF pada bola sepak Malaysia juga boleh dijejak ketika ia julung kali diadakan pada tahun 1996.

Ketika itu pasukan kebangsaan dibayangi dengan kegagalan yang mengaibkan ketika Sukan SEA 1995 (Chiangmai). 

ADS

Dalam masa sama kancah bola sepak Malaysia dilihat bergelut untuk bangkit setelah skandal menjual perlawanan yang hampir meranapkan sukan ini sama sekali. 

Walaupun hanya mampu menjadi naib juara pada tahun 1996, skuad yang dikendalikan Wan Jamak Wan Hassan ini telah menjadi sumber inspirasi untuk peminat bola sepak negara supaya terus optimis.

Aura seperti ini juga turut kelihatan pada tahun 2014 serta 2018. Ini menandakan perhatian dalam kalangan rakyat tetap menjadikannya sebagai sukan nombor satu negara ini. 

Merintis kejayaan masa depan

Atas sebab itu jika Harimau Malaya perlu mencatatkan keputusan yang memberangsangkan pada Piala AFF kali ini.

Selain perlawanan-perlawanannya yang kini menawarkan mata untuk kedudukan ranking Fifa, pertandingan seperti ini juga menawarkan ruang untuk pasukan kebangsaan untuk terus meningkatkan prestasi.

Antaranya kerana lanskap bola sepak rantau Asia yang unik. Dibandingkan dengan benua Eropah sebagai contoh, peluang untuk pasukan seperti Malaysia mendapatkan perlawanan kompetitif amat terhad.

Aksi Malaysia pada 2022 di Bukit Jalil

Di Eropah sebagai setiap pasukan kebangsaan boleh memanfaatkan pertandingan seperti Uefa Nations League di samping pusingan kelayakan Piala Dunia serta kejohanan Eropah.

ADS

Peluang ini juga dimanfaatkan oleh negara-negara kerdil untuk meningkatkan prestasi mereka dari masa ke semasa. 

Dalam konteks Malaysia, Piala AFF ini secara tidak langsung menawarkan peluang untuk mempersiapkan diri menjelang pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2027 pada tahun depan. 

Kita sudah melihat keterujaan peminat apabila negara layak buat kali pertama ke Piala Asia sejak tahun 1980.

Pastinya keghairahan terhadap bola sepak negara ini dapat digandakan dengan pencapaian yang memberangsangkan dalam Piala AFF kali ini dan jika dapat melayakkan diri ke Piala Asia yang bakal diadakan di Arab Saudi pada tahun 2027.

Dengan meningkatnya minat masyarakat Malaysia terhadap sukan ini, ia sekali gus akan terus menghidupkan aktiviti-aktiviti bola sepak tempatan sehingga ke akar umbi. 

Lebih ramai pemain serta jurulatih yang akan sedia untuk ditampilkan pada masa akan datang

Buat seluruh warga Harimau Malaya, selamat berjuang!


FIRDAUS HAMSIN ialah pembaca Malaysiakini.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS