Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis didakwa bunuh pelajar: Tiada kesan brek di lokasi nahas - Saksi

Mahkamah Tinggi di Ipoh, yang mendengar perbicaraan kes bunuh Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, hari ini diberitahu bahawa hasil pemeriksaan mendapati tiada kesan brek di lokasi nahas membabitkan kereta jenis Ativa dan sebuah motosikal jenis Yamaha LC pada 15 Dis lepas.

Saksi pendakwaan ke-29 Inspektor Jong Pit Chao, 37, berkata bagaimanapun, terdapat kesan seretan seakan-akan koyakan fabrik hitam di lokasi kejadian selain serpihan komponen kenderaan dan nombor pendaftaran belakang motosikal, alat tulis, rantai tangan berwarna perak serta kesan dakwat biru.

“Saya kemudian membuat lakaran rajah kasar tempat kejadian dan mengarahkan Koperal Shahiran Mohamad untuk mengambil gambar,” katanya sambil menambah ketika itu, beliau bertugas sebagai Pegawai Penyiasat Trafik Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah di Ipoh.

Beliau berkata demikian ketika membaca penyataan saksi di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet.

Jong juga berkata selepas selesai proses bedah siasat, beliau telah menemu duga dan melakukan siasatan awal ke atas pemandu Ativa iaitu Mohd Nazri Abdul Razak, 45, yang juga seorang pegawai kanan polis berpangkat DSP sebelum menahan tertuduh.

Beliau berkata Mohd Nazri ditahan, ujian air kencing telah dilakukan ke atas tertuduh bagi pengesanan dadah namun keputusannya adalah negatif.

Terdahulu, saksi pendakwaan ke-28 Inspektor Noor Azlan Zaidin, 38, memaklumkan mahkamah bahawa tiada suntingan dilakukan ke atas rakaman kamera litar tertutup yang dijadikan eksibit dalam kes itu.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz sama ada rakaman itu disunting olehnya semasa siasatan.

Afzainizam dibantu oleh Timbalan Pendakwa Raya Nasrul Hadi Abdul Ghani, V. Suloshani dan Low Qin manakala Mohd Nazri diwakili peguam M. Athimulan, Datuk Mior Faridalathrash Wahid serta Aiman Hakim Kamaruzzaman dan Syaheera Rosli bertindak sebagai peguam pemerhati.

Mohd Nazri didakwa membunuh Muhammad Zaharif Affendi di Jalan Taman Jati 1 berhampiran SMK Jati di sini antara 11.45 pagi hingga 12.32 tengah hari 15 Dis 2023 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun dan sebatan minimum 12 kali, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan bersambung esok.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS