Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pedofil asal Malaysia tawar keluarga mangsa €2K untuk selesai kes

Seorang pakar psikatri kanak-kanak berasal dari Malaysia yang didapati bersalah kerana melakukan penderaan dan pengantunan seksual terhadap seorang remaja perempuan di Ireland dikatakan cuba melepaskan diri daripada hukuman.

The Irish Independent melaporkan pasukan peguam Dr Amirul Arif Mohd Yunos menawarkan sebanyak €2,000 (RM9,320.40) sebagai pampasan kepada mangsa yang berusia 17 tahun.

Namun, tindakan lelaki berusia 38 tahun itu menjerat diri apabila ibu bapa remaja berkenaan menolak tawaran tersebut, dengan menganggapnya sebagai ‘penghinaan besar’."

Mahkamah Jenayah Daerah Dublin mendapati doktor di pejabat Perkhidmatan Kesihatan Mental Kanak-kanak dan Remaja (CAMHS) di Clonskeagh, Dublin, itu bersalah pada Khamis lalu dan menjatuhkan hukuman penjara lapan setengah tahun ke atas lapan tuduhan mendera dan melakukan pengantunan seksual terhadap remaja tersebut sejak usianya 14 tahun.

Keluarga berpengaruh

Dr Amirul ialah abang kepada pempengaruh media sosial dan doktor unit rawatan rapi, Dr Halina Mohd Yunos, yang merupakan isteri kepada angkasawan Malaysia, Dr Sheikh Muszhapar Shukor.

Gambarnya berpakaian jubah ketika tamat pengajian digunakan oleh Irish Independent dalam artikelnya, yang mana gambar itu pertama kali dimuat naik ke media sosial oleh Dr Halina.

Laporan Irish Independent minggu lalu menyatakan bahawa mahkamah diberitahu mengenai keterangan daripada ahli keluarga Amirul di Malaysia dan Ireland.

Keterangan tersebut termasuk daripada isterinya, kakaknya, bapanya, serta mentuanya di Malaysia.

Seorang lagi saudara perempuan yang juga tinggal di Ireland dan berkhidmat sebagai doktor kanak-kanak, serta suaminya, menyokong Amirul di mahkamah. Ibunya juga datang dari Malaysia untuk memberikan sokongan kepadanya.

"Dia berasal daripada keluarga berpengaruh di Malaysia. Kami merasa jijik terhadap keluarganya dan orang lain yang memberikan keterangan mengenai wataknya yang baik.

“Sangat menakutkan memikirkan sejauh mana toleransi mereka terhadap jenayah sadis seperti ini terhadap seorang kanak-kanak," kata ibu mangsa kepada akhbar Irish Independent Sunday.

Sementara itu, menurut Irish Times, Hakim Orla Crowe berkata mahkamah telah menyemak keterangan, surat permohonan maaf daripada Amirul dan laporan psikologi yang dikemukakan bagi pihaknya.

Hakim menyatakan laporan psikologi menunjukkan Dr Amirul memiliki "kerjaya yang menjanjikan," tetapi kesalahannya akan menghalangnya daripada terus bekerja dalam bidang berkaitan di Ireland pada masa akan datang.

Amirul sebelum ini bertugas di unit yang merawat kanak-kanak berisiko di CAMHS.

Kemarahan orang ramai

Crowe menyebut bahawa mahkamah "terkejut" dengan laporan psikologi yang menyatakan Amirul, berdasarkan kepakarannya, sepatutnya mempunyai pemahaman yang lebih mendalam mengenai kerosakan yang boleh disebabkan oleh perbuatannya itu.

Hakim itu juga menyatakan bahawa Amirul "sangat bertuah kerana komuniti dan isterinya masih menyokongnya," merujuk kepada testimoni yang diserahkan kepada mahkamah. Hukuman penjara dijatuhkan bermula dari tarikh dia mula ditahan.

Namun, Irish Independent melaporkan terdapat persoalan dalam kalangan ahli perundangan dan anggota An Garda Síochána (perkhidmatan polis dan keselamatan negara Ireland) tentang mengapa dia tidak didakwa atas jenayah rogol.

Ini kerana selepas menjalani 14 bulan penahanan dan ditambah dengan hak pengurangan hukuman automatik sebanyak 25 peratus, Amirul dijangka dibebaskan dalam masa kurang daripada lima tahun sebelum dihantar pulang ke Malaysia.

Pertemuan tidak sengaja

Menurut Irish Independent, proses pengantunan bermula ketika mangsa berumur 14 tahun, ketika Amirul bertugas di CAMHS. Gadis tersebut bagaimanapun bukan pesakit Amirul.

Doktor itu dikenali oleh ibu bapa mangsa, dan apabila mereka menceritakan anak perempuan mereka mengalami kegelisahan selepas Covid-19, Amirul menawarkan untuk memberikan terapi.

"Saya tidak akan lupa senyumannya ketika kami meminta nasihat daripadanya. Sedikit pun kami tidak tahu bahawa dia adalah seorang oportunis sadis yang menyalahgunakan kedudukannya," kata ibu mangsa kepada media Ireland.

Lebih setahun kemudian, doktor itu mula merogol gadis berkenaan, menggunakan penutup mata serta mencekik dan menekan leher mangsa untuk menghalang jeritannya.

Amirul menyebut penderaan itu sebagai “pelajaran biologi” dan menghantar bahan pornografi kepada mangsa untuk “dipelajari” bagi pertemuan seterusnya.

Beberapa penderaan juga berlaku di CAMHS, di mana dia juga merawat kanak-kanak yang terdedah kepada risiko.

Ibu mangsa berkata Amirul hanya menjalankan satu sesi terapi bersama anak perempuannya, di mana dia dan suaminya turut hadir.

Namun, selepas itu, Amirul terus bertemu remaja terbabit secara diam-diam untuk sesi-sesi lain tanpa kebenaran mereka.

Ibu bapa remaja itu hanya menyedari perkara tersebut apabila Amirul menyuruh anak perempuan mereka meminta waktu rehat tengah hari di sekolah dipanjangkan bagi menghadiri sesi terapi tersebut.

Pihak sekolah kemudian menghubungi ibu bapanya untuk mendapatkan pengesahan.

Ibu mangsa berkata dia dan suaminya menghubungi Amirul untuk melarang lelaki itu berjumpa dengan anak mereka.

Namun, Amirul mendakwa dia hanya membantu remaja itu yang menghadapi masalah selera makan dengan menemaninya makan tengah hari.

Ibu mangsa menceritakan anak perempuannya turut dipaksa menyelinap masuk ke hospital untuk mengelak daripada dilihat orang lain.

“Dia beritahu anak saya bahawa tubuhnya adalah ‘bayaran’ untuk perkhidmatan terapi yang diberikannya,” kata ibu mangsa kepada The Irish Independent.

“Dia kata dia suka melihat gadis yang sedang membesar menderita di tangannya kerana itu membuatnya merasa lebih dominan dan berkuasa.

“Lelaki itu ugut anak saya jika beritahu orang lain, tiada siapa akan percaya kerana kedudukannya dalam masyarakat,” tambah ibu mangsa.

Apabila ditanya oleh gadis berkenaan, Amirul memberitahu perbuatan itu bukan rogol kerana "rogol adalah perbuatan yang ganas."

“Tetapi ia memang ganas, ia adalah rogol. Kadang-kadang gadis ini ditinggalkan dalam keadaan mengalami pendarahan. Dia terpaksa menjalani prosedur perubatan akibat kerosakan dalaman disebabkan itu.

“Ia juga semakin teruk. Kami tidak apa yang akan terjadi jika dia tidak memberitahu seseorang,” kata ibu mangsa.

Akhbar itu turut melaporkan gadis itu cuba membunuh diri sebanyak tiga kali akibat tekanan daripada pelaku dan mengalami gangguan makan kerana dia tidak mahu mempunyai bentuk badan yang boleh menarik perhatian lelaki.

Pada masa ini, ibu bapa gadis berkenaan memberi tumpuan untuk membantu anak mereka pulih daripada trauma yang dialaminya.

[Baca laporan asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS