Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MP gesa pindaan CMA dirujuk ke jawatankuasa khas terlebih dahulu

PARLIMEN | Sekurang-kurangnya tiga ahli parlimen di Dewan Rakyat hari ini mencadangkan pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dirujuk kepada jawatankuasa khas untuk memperhalusi definisinya.

Ahli Parlimen Selayang William Leong mencadangkan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengkaji semula pindaan itu.

"Saya bercadang untuk beri peluang kepada semua pihak bawa pindaan ini kepada PAC, untuk lihat sekali lagi tentang definisi yang ada, bukan dasar tetapi definisi yang kalau boleh kita perhaluskan,” katanya.

Leong berkata walaupun pindaan itu wajar mendapat sokongan dari segi dasar, definisi yang diperkenalkannya adalah terlalu luas.

"Ini menjadi masalah kerana kita tidak boleh hanya menyenaraikan semua aktiviti yang dibenarkan dan yang tidak dibenarkan," kata ahli parlimen PKR itu.

Ahli Parlimen PN, Wan Saiful Wan Jan bersetuju cadangan Leong, dengan menyokong pindaan itu dirujuk kepada jawatankuasa pilihan Parlimen.

Rang undang-undang itu dibentangkan untuk bacaan kali pertama pada 2 Dis.

Sementara itu, Ramkarpal Singh dari DAP berkata sekali lagi mengulangi bahawa takrifan "jelik melampau" dalam pindaan Seksyen 233 adalah kabur.

Ramkarpal juga menegaskan bahawa seksyen itu terdedah kepada penyalahgunaan.

"Isu utama sebelum ini adalah bahawa istilah "offensive" adalah terma kabur.

"Adakah pindaan kepada Seksyen 233 membantu dalam definisi tersebut?

“Dalam memperkenalkan definisi baru, "jelik melampau", saya menerima banyak huraian untuk membantu menafsirkan frasa tersebut, tetapi ia tidak memberikan sebarang kepastian.

“Tidak ada kepastian yang jelas mengenai maksud jelik melampau tersebut,'” katanya.

Semalam, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menyifatkan cadangan pindaan kepada Seksyen 233 itu sebagai "pengubah keadaan (game changer).

Fahmi menjelaskan bahawa pindaan itu akan mengklasifikasikan semula kesalahan membabitkan penjualan pornografi dalam talian dan pedofilia sebagai jenayah dengan memberi kuasa kepada polis untuk bertindak terhadap pesalah.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS