Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Cukai taksiran di Selangor naik 25 peratus tahun depan

Kerajaan Selangor bersetuju untuk menaikkan kadar cukai taksiran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sebanyak 25 peratus berbanding kenaikan asal melebihi 100 peratus, berkuat kuasa 1 Jan tahun hadapan.

Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Datuk Ng Suee Lim berkata ia susulan semakan berdasarkan Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) yang memperuntukkan senarai satu nilaian baharu perlu disediakan dan disiapkan oleh semua PBT setiap lima tahun.

Beliau berkata sebelum pelarasan itu diluluskan, Majlis Daerah Sabak Bernam masih mengguna pakai kadar yang diluluskan 38 tahun dahulu, diikuti Majlis Perbandaran Kuala Langat 37 tahun manakala sembilan PBT lain melebihi 20 tahun.

"Potongan cukai ini kita sasar laksanakan selama lima tahun dan ini dijangka akan meningkatkan pendapatan PBT sebanyak RM355 juta setahun untuk dimanfaatkan bagi peningkatan keupayaan melalui penyediaan infrastruktur awam atau pemantapan perkhidmatan di daerah masing-masing," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media khas di Wisma Dewan Undangan Negeri Selangor di Shah Alam hari ini.

Ng berkata kerajaan negeri juga bersetuju untuk meneruskan pengecualian cukai taksiran kepada semua rumah kos rendah termasuk rumah SelangorKu tahun hadapan, melibatkan implikasi kewangan hampir RM60 juta.

"Bagi rumah kampung tradisi, kita beri pengecualian bersasar dan setakat tahun ini sebanyak 2,849 pegangan telah kita beri pengecualian di kampung tradisi ini dan kita sasarkan 5,000 rumah untuk diberi pengecualian yang boleh dinikmati penduduk sekiranya memenuhi syarat," katanya.

Mengenai titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menzahirkan rasa dukacita terhadap tahap kebersihan di Bandar Raya Diraja Klang sehingga mengakibatkan kejadian banjir, beliau berkata pihaknya telah meneliti perkara tersebut dan tindakan penyelesaian akan dilaksanakan segera.

"Baru-baru ini kita dah bincang dalam Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) tentang isu tebatan banjir tentang perkara ini dan ia sedang berjalan...kita juga akan bermesyuarat dalam masa terdekat berkenaan kebersihan Sungai di Klang," katanya.

Beliau berkata satu mesyuarat bersepadu bersama Datuk Bandar Klang Datuk Abd Hamid Hussain bersama KDEB Waste Management dan pihak berkaitan akan dilakukan dalam masa terdekat bagi memastikan tahap kebersihan yang optimum di bandar raya itu, selain tidak menolak kemungkinan penambahan bajet perlu dilakukan bagi mencapai objektif tersebut.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS