PARLIMEN | Rang Undang-undang Komunikasi dan Multimedia (Pindaan) 2024 (CMA) yang diperkenalkan kerajaan diluluskan di Dewan Rakyat hari ini.
Ini walaupun kebimbangan dibangkitkan oleh beberapa ahli Parlimen, termasuk dari pihak kerajaan, mengenai beberapa cadangan yang dibimbangi boleh menimbulkan risiko penyalahgunaan terhadap hak kebebasan bersuara.
Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul mengumumkan keputusan itu selepas undi belah bahagi menyaksikan 59 ahli parlimen menyokong manakala 40 lagi menentang.
Seorang lagi ahli parlimen berkecuali daripada mengundi, manakala 122 yang lain tidak hadir.
Undi belah bahagi itu diadakan atas permintaan Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas), yang disokong lebih 15 yang lain.
Seramai 24 ahli parlimen dari kedua-dua blok sebelum ini membahaskan cadangan itu.
Salah satu bahagian yang banyak diperdebatkan dalam pindaan itu ialah mengenai istilah "jelik melampau", yang ingin dimasukkan ke dalam Seksyen 233 yang menetapkan kesalahan berhubung penggunaan kemudahan rangkaian yang tidak wajar.
Beberapa ahli parlimen yang lain termasuk Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) membangkitkan kebimbangan mengenai cadangan untuk meluaskan kuasa kepada pegawai melakukan siasatan di bawah CMA, termasuk dibenarkan memasuki sesuatu premis tanpa waran.
Pada masa ini, hanya pegawai polis berpangkat Inspektor dan ke atas boleh berbuat demikian, namun pindaan itu memberikan kuasa tersebut kepada "mana-mana pegawai yang diberi kuasa".
Wan Saiful Wan Jan (PN-Tasek Gelugor) mengkritik peruntukan dalam cadangan pindaan itu yang membolehkan waran geledah digunakan walaupun "cacat".
Beberapa ahli parlimen termasuk dari PH mencadangkan supaya pindaan itu dirujuk kepada jawatankuasa khas untuk memperhalusi definisinya terlebih dahulu.
"Saya bercadang untuk beri peluang kepada semua pihak bawa pindaan ini kepada PAC, untuk lihat sekali lagi tentang definisi yang ada, bukan dasar tetapi definisi yang kalau boleh kita perhaluskan,” kata William Leong (PH-Selayang).
Selain itu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muda-Muar) turut mengkritik Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dan PH kerana membentangkan rang undang-undang pindaan itu.
Mereka menggesa menteri itu sebaliknya memansuhkan CMA, yang sebelum ini disifatkan oleh PH sebagai undang-undang yang menindas dan berjanji untuk memansuhkannya dalam manifesto pilihan raya mereka.
Sementara itu, Fahmi dalam ucapan penggulungannya mempertahankan peruntukan yang dicadangkan kerajaan, dengan mengatakan bahawa ia bertujuan untuk menangani jenayah dalam talian termasuk penipuan, pornografi dan pedofilia.
Dia berkata kerajaan perlu mencari "titik keseimbangan", di mana ia perlu mengimbangi antara memastikan kebebasan bersuara dan menjaga keselamatan negara.
Sebagai contoh, Fahmi berkata, kerajaan tidak boleh memansuhkan Seksyen 233 seperti yang dicadangkan ramai kerana peruntukan itu diperlukan untuk membanteras jenayah dalam talian seperti penjualan pornografi.
Pindaan itu juga bertujuan untuk meminimumkan ruang untuk penyalahgunaan CMA dengan "mengurangkan skop" peruntukannya, menurut menteri itu.