Persatuan Bola Sepak Syria menukar warna kit dan logo pasukan kebangsaan daripada merah kepada hijau susulan kejatuhan rejim Bashar al-Assad semalam.
"Jersi pasukan kebangsaan baru kami," kata persatuan itu di Facebooknya.
Turut dikongsi logo baru persatuan yang diinspirasi daripada bendera Syria baru bawah kerajaan interim.
Selain warga temanya, logo Qasioun Eagles dengan gambar helang itu juga kini mempunyai tambahan satu bintang daripada dua kepada tiga.
Persatuan penaung bola sepak kebangsaan itu juga menyifatkannya sebagai perubahan bersejarah yang “jauh daripada amalan nepotisme, pilih kasih dan rasuah”.
Al-Assad semalam meletak jawatan dan lari mendapatkan suaka politik di Rusia.
Ini susulan penguasaan kumpulan bersenjata antirejim terhadap bandar-bandar besar di negara dilanda perang saudara selama berbelas-belas tahun itu, termasuk ibu kotanya Damsyik, pada Ahad.
Pasukan bola sepak Syria adalah antara pasukan yang kuat di Asia dengan ranking Fifa di tempat ke-93.