PARLIMEN | Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) menegur Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) kerana menyalah tafsir syor yang dibuatnya dalam laporannya pada Julai lalu.
Dalam satu kenyataan, PAC menegaskan bahawa ia sebelum ini mencadangkan kementerian melantik perunding bebas untuk menjalankan audit forensik mengenai program latihan di bawah Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp).
Bagaimanapun, kementerian itu dikatakan menyalahtafsirkannya sebagai jawatankuasa itu mencadangkan mereka mendapatkan perunding untuk menyemak Laporan Ketua Audit Negara baru-baru ini.
"PAC turut mendapati terdapat kekeliruan dalam mentafsir syor PAC oleh Kesuma. Melalui syor PAC, PAC tidak bermaksud mengesyorkan Kesuma untuk melantik perunding bebas bagi tujuan semakan semula Laporan Ketua Audit Negara (LKAN).
"Tetapi apa yang dimaksudkan PAC ialah melantik perunding bebas untuk melaksanakan pengauditan forensik yang bertujuan melihat keberkesanan program-program latihan yang dijalankan di bawah HRD Corp. Ini adalah disebabkan oleh aduan kecelaruan yang berlaku dalam pengurusan latihan,” kata kenyataan itu yang dibentangkan di Dewan Rakyat oleh anggota PAC Sim Tze Zin petang tadi.
Justeru, kata Sim, PAC menggesa kementerian dan HRD Corp melaksanakan syornya dan melaporkan semula kepada jawatankuasa itu.
Mengenai perkara berkaitan, PAC dalam satu kenyataan mengulangi gesaannya agar HRD Corp melantik individu berasingan untuk bertindak sebagai pegawai undang-undang dan setiausaha syarikatnya.
Ini berlaku selepas agensi itu melalui Lembaga Pengarah dan Jawatankuasa Remunerasi menegaskan bahawa HRD Corp mengekalkan struktur semasanya.
Menurut PAC, kedua-dua peranan itu harus dimainkan oleh individu yang berbeza untuk memastikan tadbir urus yang baik dalam lembaga pengarah dan badan pengurusan tertinggi HRD Corp.
"Jawatankuasa ini menegaskan bahawa Kementerian Sumber Manusia mengambil tindakan segera untuk memisahkan peranan bagi memastikan tadbir urus yang baik dalam HRD Corp," katanya.