Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Aktivis seni serah memorandum bantah RUU Mufti
Diterbitkan:  Dec 9, 2024 12:56 PM
Dikemaskini: 4:56 AM

Kumpulan penggiat seni dan budaya menyerahkan memorandum bantahan kepada parlimen bagi menyuarakan kebimbangan mereka terhadap cadangan Rang Undang-undang Mufti Wilayah Persekutuan.

Jurucakap kumpulan itu, Arief Hamizan memberitahu pemberita bahawa mereka bimbang perubahan itu secara langsung dan tidak langsung memberi kesan kepada masyarakat seni dan budaya serta kehidupan seharian rakyat, termasuk bukan Islam.

Ini kerana rang undang-undang yang dicadangkan untuk memberi kuasa kepada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan untuk mengeluarkan fatwa yang mengikat dan boleh dikuatkuasakan di mana-mana mahkamah dan bukannya terhad kepada mahkamah syariah.

“Apa yang amat membimbangkan komuniti seni ialah skop rang undang-undang fatwa yang diperluaskan, risiko kesannya terhadap ekspresi dan cara pekerja budaya dapat mencipta karya.

"Ia juga mengehadkan apa yang saya fikirkan sebagai hak asasi demokrasi, terutamanya apabila ia melibatkan Malaysia," katanya selepas menyerahkan memorandum itu kepada Ahli Parlimen Selayang William Leong hari ini.

Arief Hamizan (kanan) menyerahkan memorandum kepada Ahli Parlimen Selayang William Leong

Pen Malaysia, Persatuan Penulis Malaysia, ReformaARTsi, Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ), Pusat Seni Persembahan Kuala Lumpur, pembikin filem Dain Said adalah antara yang menyokong memorandum itu.

Dalam rayuannya, kumpulan itu menggesa rang undang-undang berkenaan dibahaskan secara menyeluruh dan menggesa parlimen menolaknya jika perlu, memastikan ketelusan dan pemahaman awam tentang implikasinya yang meluas.

Arief turut menekankan kebimbangan mengenai Seksyen 11 rang undang-undang itu, yang menggariskan operasi dan pemakaian fatwa.

“Sesetengah kumpulan ada menyebut sebelum ini (bacaan rang undang-undang), kita boleh keluar dari fatwa walaupun ia mengikat berdasarkan kepercayaan peribadi.

"Itu tidak disebut dalam rang undang-undang yang dicadangkan ini," katanya.

Petisyen menyokong memorandum itu mengumpulkan hampir 2,000 tandatangan dalam masa dua hari sahaja, yang menurutnya mencerminkan bantahan awam yang meluas.

Rang undang-undang itu, yang pertama kali dibentangkan pada 2 Julai oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na'im Mokhtar, menetapkan undang-undang mengenai peranan mufti, fatwa, undang-undang Islam, dan perkara berkaitan, termasuk menasihati Agong, mengeluarkan fatwa, membimbing kes Mahkamah Syariah, dan menentukan kiblat.

Pengenalannya telah menarik perhatian daripada pemimpin agama, NGO, dan individu lain yang prihatin termasuk Sisters in Islam yang berkata rang undang-undang itu akan memberi kuasa kepada kerajaan untuk menentukan kehidupan Muslim.

Bulan lalu, Majlis Perundingan Buddhisme, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisme Malaysia (MCCBCHST) turut melahirkan kebimbangan mengenai potensi rang undang-undang itu untuk membuat fatwa mengikat secara sah, yang berpotensi mencabul hak orang bukan Islam.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS