Seorang bekas pengawal keselamatan di Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Kuala Lumpur yang membawa kes pemecatan tidak adil ke mahkamah telah menarik balik rayuannya di Mahkamah Rayuan selepas mencapai penyelesaian luar mahkamah dengan pihak kedutaan.
"Sebagai sebahagian daripada penyelesaian ini, satu jumlah pampasan yang adil telah dibayar kepada Subramaniam berdasarkan prinsip 'tanpa pengakuan liabiliti', menandakan penyelesaian penuh dan muktamad bagi kes ini," kata Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM), S Arutchelvan pada satu kenyataan hari ini.
Pada 3 April tahun ini, Subramaniam memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan untuk mengembalikan semula anugerah pampasan sebanyak RM66,000 yang diputuskan oleh Mahkamah Perusahaan sebelum ini.
Notis rayuan tersebut difailkan oleh peguamnya dari firma guaman Tetuan Kesavan, sebagai respons kepada keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 1 April yang membatalkan keputusan Mahkamah Perusahaan.
Tahun lalu, Mahkamah Perusahaan telah memutuskan Subramaniam dipecat secara tidak sah daripada jawatannya di Kedutaan AS 16 tahun lalu dan mengarahkan pampasan sebanyak RM66,000 dibayar kepadanya.
Bagaimanapun, Kedutaan AS kemudiannya membawa kes itu ke mahkamah sivil untuk membatalkan keputusan Mahkamah Perusahaan.
Tiada imuniti mutlak
Sementara itu, Arutchelvan mengakui kes berkenaan sukar, memandangkan pihak yang dihadapinya sebuah kedutaan asing.
Namun, katanya perjuangan itu berjaya mencipta duluan penting dalam sejarah perundangan negara dan memberi harapan kepada ramai pekerja di misi-misi asing.
"Kes ini telah mencipta duluan penting dalam sejarah perundangan negara apabila Mahkamah Persekutuan pada 20 Jun 2022 memutuskan bahawa tiada imuniti mutlak dan Mahkamah Perusahaan adalah forum yang sesuai dan tepat untuk menentukan isu doktrin kekebalan kedaulatan yang terhad," katanya.
Keputusan tersebut, menurut Arutchelvan, bermakna kedutaan asing yang sebelum ini sewenang-wenangnya memecat pekerja dengan berselindung di sebalik doktrin kekebalan kedaulatan negara, kini tidak lagi dapat berbuat demikian.
RUU baru kawal kekebalan diplomatik
Selain mencipta duluan baru, kes itu juga mencetuskan tindakan Dewan Negara untuk meluluskan Rang Undang-undang Kekebalan Bidang Kuasa Negara Asing 2023 pada 1 April tahun ini.
Rang undang-undang itu bertujuan mengawal kekebalan yang diberikan kepada negara asing, termasuk aset mereka, ketua negara dan pemimpin kerajaan daripada bidang kuasa mahkamah di Malaysia.
“Rang undang-undang yang dipinda itu telah mengecualikan isu pekerjaan, dan ini bermakna kedutaan kini tidak boleh lagi menggunakan kekebalan dalam perkara berkaitan pekerjaan.
“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan atas pindaan penting ini, yang akan memastikan situasi serupa yang dihadapi oleh Subramaniam tidak akan berulang lagi,” kata Arutchelvan.
Kedutaan gagal buktikan salah laku
Sejak awal lagi, pasukan undang-undang Kedutaan AS berhujah Mahkamah Perusahaan tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar kes pemecatan Subramaniam pada 2008.
Bagaimanapun, dalam keputusan yang disampaikan pada 27 April tahun lalu, Pengerusi Mahkamah Perusahaan Amrik Singh mendapati Kedutaan AS gagal mengemukakan bukti yang mencukupi bagi menyokong dakwaan salah laku terhadap Subramaniam.
Menurut keputusan bertulis Amrik, pasukan undang-undang Kedutaan AS lebih banyak memberi tumpuan kepada hujahan bahawa Mahkamah Perusahaan tiada bidang kuasa, berbanding mengemukakan bukti berhubung dakwaan salah laku Subramaniam berkaitan cuti tanpa kebenaran.
Kes Subramaniam ini bukan sahaja membuka laluan kepada duluan undang-undang baru, tetapi juga memberikan harapan kepada pekerja di kedutaan dan konsul asing yang mungkin menghadapi situasi serupa.
Melalui keputusan Mahkamah Persekutuan dan pindaan Rang Undang-undang Kekebalan Bidang Kuasa Negara Asing 2023, pekerja kini mempunyai saluran undang-undang yang lebih kukuh untuk mencabar sebarang pemecatan secara tidak adil oleh majikan dari misi diplomatik asing.