Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

PARLIMEN | Kerajaan akan membentangkan rang undang-undang untuk memisahkan peranan pendakwa raya daripada peguam negara selewat-lewatnya menjelang tahun depan, menurut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M Kulasegaran.

Jelasnya, proses melaksanakan perubahan tersebut memerlukan masa kerana terdapat beberapa langkah yang perlu diikuti oleh kerajaan, namun menegaskan komitmen kerajaan untuk melaksanakan reformasi itu.

"Sebenarnya nak pinda Perkara 145 tidak ada masalah. Kita ada majoriti lebih dua pertiga di parlimen.

"Tetapi kajian empirikal itu perlu dibuat. YB dulu menteri, tahu perkara kalau nak bawa perubahan lebih mudah cakap berbanding melaksanakannya,” katanya semasa sesi soal jawab di Dewan Rakyat pagi ini.

Kulasegaran menjawab soalan tambahan daripada Teresa Kok (PH-Seputeh), yang bertanya mengapa kerajaan mengambil masa yang lama untuk memisahkan peranan pendakwa raya daripada peguam negara.

"Kerana kita perlu ada diskusi dan stakeholders, NGO.

"Kerapkali beberapa NGO datang untuk mendapat penerangan dan sebagainya.

"Selain dari itu kita juga ada jawatankuasa-jawatankuasa pilihan khas (parlimen). Maka ia memerlukan masa tetapi akhirnya kerajaan berpandangan bahawa sekurang-kurangnya tahun hadapan mesti perkara ini akan diselesaikan,” katanya lagi.

Bukan sengaja lengah

Timbalan menteri itu berkata proses reformasi pemisahan kuasa peguam negara ini memerlukan rundingan yang meluas bagi memastikan segala aspek diambil kira.

“Dalam melaksanakan reformasi, kita perlu mendapatkan pandangan daripada semua pihak yang terlibat. Setiap pihak ada keprihatinan masing-masing, dan ini memerlukan masa untuk kita pertimbangkan semua aspek,” jawab Kulasegaran.

Teresa sebelum ini membangkitkan keperluan untuk mempercepatkan reformasi tersebut memandangkan isu konflik kepentingan yang timbul apabila peguam negara juga memegang peranan sebagai pendakwa raya.

Kerajaan telah lama menerima desakan daripada pelbagai pihak termasuk NGO, peguam dan ahli arlimen untuk melaksanakan pemisahan ini bagi memastikan kebebasan institusi pendakwaan, mengelakkan konflik kepentingan dan meningkatkan ketelusan dalam sistem keadilan.

Reformasi ini dijangka memerlukan pindaan kepada Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan, yang memberi kuasa kepada peguam negara untuk bertindak sebagai pendakwa raya.

Setakat ini, kerajaan dilihat komited ke arah pemisahan fungsi tersebut, dengan langkah-langkah awal seperti kajian ilmiah dan perbincangan bersama pihak berkepentingan telah dimulakan.

Pemisahan kuasa antara dua peranan yang kini dipegang oleh seorang individu merupakan tuntutan utama daripada kumpulan seperti Bersih dan Badan Peguam Malaysia.

Pada September tahun lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan semula komitmen kerajaan untuk memisahkan peranan dan kuasa peguam negara serta pendakwa raya namun beliau menjelaskan proses tersebut tidak boleh dilaksanakan secara tergesa-gesa.

Pada April, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said dilaporkan berkata proses pemisahan peranan itu akan dilaksanakan secara berperingkat dalam tempoh dua tahun.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS