Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Permohonan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk membatalkan sabitan pecah amanah (CBT) serta hukuman penjara tujuh tahun, denda RM10 juta dan dua sebatan akan didengar pada 19 dan 20 Mac tahun depan

Mahkamah Rayuan pagi ini menetapkan tarikh pendengaran rayuan untuk bekas menteri belia dan sukan itu mengetepikan keputusan bersalah dan hukuman yang dikaitkan dengan RM1.12 juta dana Pemuda Bersatu.

Peguam bela bekas ketua Pemuda Bersatu itu, Hisyam Teh Poh Teik mengesahkan tarikh pendengaran yang ditetapkan semasa pengurusan kes hari ini.

Pada 9 Nov tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati Syed Saddiq bersalah atas empat pertuduhan membabitkan CBT, penyelewengan harta benda dan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan wang itu.

Dalam alasan penghakiman bertulis yang dikeluarkan baru-baru ini, hakim perbicaraan Azhar Abdul Hamid berkata hukuman itu wajar kerana mahkamah jenayah membuat rujukan mengenai insiden pecah amanah dan penyelewengan jenayah yang berulang.

Hakim memutuskan bahawa golongan muda memandang tinggi kepada Ahli Parlimen Muar itu, yang sepatutnya menjadi contoh yang baik.

Bagaimanapun, Azhar membenarkan permohonan Ahli Parlimen Muar itu untuk menangguhkan pelaksanaan semua hukuman sementara menunggu penyelesaian rayuan tertuduh yang sedang berjalan di Mahkamah Rayuan.

Bekas presiden Muda itu didakwa bersubahat dengan bekas penolong bendahari Pemuda Bersatu Rafiq Hakim Razali, yang diamanahkan RM1 juta dana Pemuda Bersatu, untuk melakukan CBT dengan wang itu.

Kesalahan itu dikatakan dilakukan di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Stesen Sentral 2 pada 6 Mac 2020.

Pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebat dan denda.

Bagi pertuduhan kedua, Syed Saddiq didakwa menyeleweng RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan membuat Rafiq melupuskan dana itu.

Syed Saddiq didakwa melakukan kesalahan itu di Malayan Banking Bhd, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya - antara 8 dan 21 April 2018.

Pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum lima tahun, sebat dan denda.

Syed Saddiq juga menghadapi dua pertuduhan pengubahan wang haram, melalui transaksi RM50,000 setiap satu, yang didakwa hasil daripada aktiviti yang menyalahi undang-undang, daripada akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke dalam akaun Amanah Saham Bumiputeranya di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Baru, pada 16 dan 19 Jun 2018.

Pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001, yang boleh dihukum penjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti yang menyalahi undang-undang.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS