Televisyen rasmi Syria pada Ahad menyiarkan video kenyataan sekumpulan lelaki yang mengumumkan kejatuhan Presiden Bashar al-Assad serta pembebasan semua tahanan, lapor Agensi Anadolu (AA).
Video itu disiarkan susulan perkembangan dramatik awal Ahad apabila kumpulan bersenjata anti-rejim menguasai ibu negara, Damsyik, sekali gus menamatkan pemerintahan rejim Assad secara mendadak.
Individu yang membacakan kenyataan itu menyeru semua anggota pembangkang dan rakyat Syria melindungi institusi negara "Syria yang merdeka."
Pertempuran antara pasukan rejim Assad dan kumpulan bersenjata anti-rejim bermula pada 27 November di kawasan luar bandar di barat Aleppo, sebuah bandar utama di utara Syria.
Pada 30 November, kumpulan anti-rejim menguasai sebahagian besar pusat bandar Aleppo daripada pasukan rejim, sebelum mengambil alih keseluruhan Wilayah Idlib pada hari yang sama. Khamis lepas, kumpulan itu berjaya menguasai pusat bandar Hama daripada rejim Assad selepas pertempuran sengit
Kumpulan anti-rejim turut menawan beberapa kawasan strategik di Wilayah Homs, pintu masuk ke ibu negara Damsyik, dan mula mara ke sana.
Pada Jumaat, kumpulan pembangkang bersenjata melancarkan operasi di Wilayah Daraa yang bersempadan dengan Jordan dan berjaya merampas semula pusat bandar daripada pasukan rejim selepas pertempuran.
Sabtu menyaksikan seluruh Wilayah Suwayda di selatan Syria jatuh ke tangan kumpulan pembangkang. Pada hari yang sama, kumpulan pembangkang tempatan di Quneitra juga mengambil alih pusat wilayah berkenaan.
Di Wilayah Homs, pasukan anti-rejim berjaya menguasai pusat wilayah itu pada Sabtu.
Kumpulan yang mara menentang pasukan rejim Assad memasuki kawasan pinggir selatan Damsyik lewat Sabtu. Pasukan rejim turut berundur daripada Kementerian Pertahanan dan Dalam Negeri serta lapangan terbang antarabangsa di Damsyik.
Ketika kumpulan bersenjata anti-rejim mula menguasai ibu negara, rejim Assad pada pagi Ahad kehilangan kawalan sepenuhnya terhadap Damsyik. Di tengah khabar angin mengenai pelarian Assad dari ibu negara, lokasi terkini pemimpin yang digulingkan itu masih tidak diketahui.
Dalam perkembangan lain, Operasi Fajar Kebebasan yang dilancarkan oleh Tentera Kebangsaan Syria (pembangkang) terhadap organisasi pengganas PKK/YPG di kawasan luar bandar Aleppo pada 1 Disember berjaya membebaskan pusat Daerah Tel Rifaat daripada penguasaan pengganas.
- Bernama-AA