Mohamad Saleeh Rahamad berjaya mempertahankan jawatan presiden Persatuan Nasional Penulis Malaysia (Pena) selepas dicabar seorang lagi calon Mohd Khair Ngadiron.
Dalam pemilihan yang diadakan sempena Mesyuarat Agung Tahunan kali ke-61 di Rumah Pena, Kuala Lumpur, hari ini, Mohamad Saleeh meraih 54 undian berbanding Mohd Khair merekodkan 33 undi.
Kemenangan itu menyaksikan Mohamad mengekalkan posisi itu untuk penggal kelapan kepimpinannya.
Bagi jawatan timbalan presiden yang sebelum ini disandang Mohd Khair pula dimenangi Hanafi Ibrahim.
Hanafi meraih 51 undi berbanding pesaingnya Syed Mohd Zakir Syed Othman yang memperolehi 47 undi.
Jawatan setiausaha agung pula dimenangi Norzuraina Mohd Nor yang menewaskan Lutfi Ishak dengan keputusan undi 58-32.
Jawatan timbalan setiausaha agung kini disandang Zaifulnizam Wagiran yang meraih 50 undian menewaskan pencabarnya, Rosman Md Shah.
Pemilihan itu juga menyaksikan jawatan pengerusi dan timbalan pengerusi tetap dimenangi tanpa bertanding sekali gus mengekalkan posisi Roslan Madun dan Mohd Radzuan Ibrahim.
Selain itu, Azalan Hussain kekal dilantik sebagai bendahari yang menang tanpa bertanding.
Pemilihan hari ini turut melantik Ahli Jawatankuasa Pena terdiri daripada Rosman Md Shah, Norhayati Ab Rahman, Nurul Asyikin, Barupawati Utamaju Baharum, Shamsudin Othman dan Nazhatulshima Nolan.
Jawatan pemeriksa kira-kira pula disandang Adam Buck Lee dan Karim Mohamad.
Mereka akan berkhidmat bagi sesi 2024 hingga 2026.
Pena ditubuhkan pada 1961 dan kini mempunyai seramai 816 ahli aktif di seluruh negara. Daripada jumlah itu 324 orang ahli seumur hidup dan 487 ahli biasa selain lima 5 ahli bersekutu dari luar negara.