Ahli Majlis Tertinggi Warisan Calvin Chong menyoal sikap berdiam diri DAP berhubung dakwaan skandal rasuah di Sabah.
Adun Elopura itu mengingatkan sebelum video berkaitan skandal tersebut tersebar, Ahli Parlimen DAP Lim Lip Eng pernah menawarkan untuk membangkitkan isu berkenaan di parlimen.
Pada 11 November lalu, Lim menggesa individu terbabit untuk mengemukakan isu itu sebelum sidang Dewan Rakyat berakhir pada pertengahan Disember.
Ini selepas SPRM berkata pihaknya tidak dapat menjamin pemberi maklumat akan dilindungi daripada tindakan undang-undang.
“Saya bersedia untuk membentangkan bukti dan mendedahkan nama-nama mereka yang terlibat di Parlimen, serta mendesak pihak berkuasa agar mengambil tindakan pantas dan tegas terhadap mereka,” kata ahli parlimen Kepong itu.
Pun begitu, Chong berkata dia kesal kerana tiada seorang pun ahli parlimen DAP berani bersuara mengenai isu ini selepas Perdana Menteri Anwar Ibrahim memaklumkan pemberi maklumat tersebut tidak akan dilindungi dan akan disiasat.
“Selama lebih 55 tahun, DAP sering melaungkan perjuangan untuk tadbir urus bersih dan memastikan semak dan imbang terhadap kerajaan demi mendapatkan sokongan pengundi.
“Justeru, ini menunjukkan sikap hipokrit parti tersebut yang berkata satu perkara sebelum pilihan raya tetapi bertindak sebaliknya apabila berada dalam kerajaan.
"Ingat, rakyat mengundi DAP kerana percaya kepada prinsip-prinsip parti itu.
“Tetapi kini, keadaannya berbeza sama sekali apabila mereka berada di pihak kerajaan," kata Chong pada satu kenyataan hari ini.
Menggambarkan video-video berkaitan skandal itu sebagai mungkin "hanya permukaan kepada isu yang lebih besar," Chong menggesa SPRM agar menjalankan siasatan menyeluruh.
Pemimpin Warisan itu turut merayu kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, supaya mengarahkan SPRM melaksanakan tugas mereka tanpa rasa takut atau pilih kasih.
Pada 21 November, Anwar berjanji tiada usaha untuk menutup skandal tersebut, susulan spekulasi pentadbirannya menganggap kerajaan negeri Sabah yang diterajui Ketua Menteri Hajiji Noor daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai aset politik yang bernilai.
Dalam pada itu, Hajiji menafikan dakwaan rasuah tersebut dan mendakwa video-video terbabit telah "disunting secara berniat jahat" untuk mencemarkan imejnya.
Pemberi maklumat pula mendakwa video-video tersebut mengandungi perbincangan dengan beberapa Adun mengenai rasuah yang didakwa diberikan kepada mereka sebagai dorongan untuk menyokong permohonan lesen penerokaan mineral.