Polis Kota Kinabalu mengesahkan tiada laporan polis dibuat berhubung dakwaan seorang ahli perniagaan mengugut dan cuba merasuah Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor.
“Tiada laporan polis setakat ini,” kata ketua polis daerah Kota Kinabalu, Kasim Muda.
Ditanya sama ada polis akan memulakan siasatan kerana dakwaan itu telah dilaporkan oleh media, dia menjawab: “Tiada laporan dibuat setakat ini. Jika ada laporan, kita akan siasat.”
Malaysiakini juga telah menghubungi SPRM dan pejabat ketua menteri untuk mengulas dakwaan itu.
Terdahulu, FMT memetik sumber yang tidak dinamakan mendakwa Hajiji enggan tunduk kepada ugutan dan tawaran rasuah berkaitan skandal perlombongan yang menggegarkan kerajaan negeri pimpinannya.
Sumber itu berkata jika Hajiji meluluskan lesen cari gali tersebut, ahli perniagaan itu berjanji tidak akan "menghancurkan kerajaan" tetapi akan memberi sokongan penuh kepada kerajaan negeri.
Video itu bagaimanapun timbul kurang dua bulan kemudian, kata sumber itu.
Susulan itu, Ketua Pemuda Umno, Akmal Saleh bertanya apakah laporan polis atau laporan SPRM telah dibuat.
"Ini adalah dakwaan yang serius. Adakah laporan polis telah dibuat? Adakah laporan kepada SPRM telah difailkan? Jika ada laporan yang dibuat, apakah hasil siasatan atau siasatan-siasatan yang telah dilakukan?" soalnya.
Akmal menggesa Hajiji, polis dan pihak SPRM menjelaskan perkara ini kerana ia melibatkan dakwaan perbuatan jenayah terhadap seorang pemimpin tertinggi politik.
"Ini adalah kesalahan yang serius dan tidak boleh dipandang ringan. Jika benar, maka pelaku harus disiasat," katanya kepada Malaysiakini.
Seorang pemberi maklumat, yang mendedahkan beberapa video membabitkan beberapa ADUN, mendakwa rakaman itu mengandungi perbincangan mengenai dakwaan rasuah yang diberikan kepada ahli politik untuk menyokong permohonannya mendapatkan lesen cari gali sumber mineral di Sabah.
Hajiji berkata video itu telah "disunting dengan niat jahat" dan menyifatkan dakwaan rasuah itu sebagai tidak berasas.