Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Isytihar aset untuk ahli politik pendapat peribadi bekas MP - Fahmi

Jurucakap kerajaan, Fahmi Fadzil, berkata tidak timbul isu ahli politik perlu mengisytiharkan aset mereka terlebih dahulu daripada penjawat awam.

Dia berkata demikian mengulas kenyataan bekas Ahli Parlimen Bangi, Ong Kian Ming, yang mempersoalkan cadangan Ahli Parlimen Subang, Wong Chen, untuk mewajibkan penjawat awam mengiytiharkan aset terlebih dahulu sebelum dilaksanakan kepada ahli politik.

"Ramai ahli parlimen sebenarnya dah declare. Saya sendiri dah declare sebelum ni. Jadi tidak menjadi isu.

“Perbincangan mungkin dalam konteks apa yang dibangkitkan oleh ahli parlimen Subang berkait penjawat awam, itu pandangan daripada ahli parlimen Subang.

"Dan ahli-ahli parlimen memang bebas untuk bersuara, untuk menyampaikan pandangan," katanya.

Ketika ditanya mengenai kemungkinan untuk memperkenalkan semula portal pengisytiharan harta seperti yang dilakukan PH pada tahun 2020, Fahmi berkata kabinet masih belum membincangkan perkara itu.

“Benda ini belum dibincangkan,” katanya ringkas.

Ketika kerajaan PH di bawah pimpinan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, SPRM mewujudkan portal yang memaparkan jumlah pendapatan bulanan dan aset yang diisytiharkan oleh ahli parlimen.

Portal itu dilancarkan semula ketika pentadbiran bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin, dengan versi kedua mengekalkan maklumat pendapatan bulanan individu tetapi menyenaraikan jumlah aset dalam bentuk anggaran dan bukannya jumlah spesifik.

Pada tahun 2022, sebelum memegang jawatan perdana menteri, Anwar Ibrahim mengisytiharkan asetnya yang berjumlah RM11.18 juta di laman web calon PKR semasa kempen Pilihan Raya Umum ke-15.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS