Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pindaan CMA untuk tangkap 'perosak umat' - Fahmi

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menyifatkan pindaan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (CMA) bukan sesuatu yang remeh.

Bercakap kepada wartawan di Kuala Lumpur hari ini, Fahmi berkata pindaan itu membolehkan pihak berkuasa menahan individu yang menjual bahan pornografi, termasuk melibatkan pornografi kanak-kanak.

"Jadi ini saya pasti bukan satu pindaan yang remeh tapi akan membantu memastikan bahawa penjenayah terutama mereka yang terlibat dalam penjualan pornografi seperti dalam kes Hot Daddy sebelum ini.

"Dan juga mereka yang merupakan pedofil yang menyimpan bahan-bahan jenayah seksual terhadap kanak-kanak. Mereka ini perosak umat.

“Maka kita akan buat pindaan supaya dua kumpulan ini, pihak polis boleh menahan mereka dan boleh melakukan tangkapan," katanya.

Pindaan itu dibuat selepas 26 tahun undang-undang asal digubal.

Rang undang-undang tersebut dibentangkan untuk bacaan kali pertama pada 2 Dis lalu.

Pindaan berkenaan bertujuan menangani pelbagai isu termasuk ucapan kebencian, penipuan, dan mesej tidak diminta. Ia juga merangkumi huraian baru untuk memperjelaskan Seksyen 233.

Sebagai contoh, Seksyen 233(1)(a) dipinda supaya komunikasi yang tidak wajar ditakrifkan sebagai “jelik melampau” dan bukan sekadar “jelik”.

Namun, beberapa kumpulan hak asasi seperti Lawyers for Liberty mengkritik pindaan ini, dengan mendakwa ia boleh menjadi usaha tersembunyi untuk memperkenalkan undang-undang “berita palsu” dan menyuarakan kebimbangan apabila kerajaan mungkir janji untuk memansuhkan undang-undang sedemikian.

‘Pertahankan kebebasan bersuara’

Mengulas lanjut, Fahmi memberi jaminan bahawa pindaan ini akan melindungi kebebasan bersuara rakyat Malaysia.

"Ini untuk memastikan hahawa hak kebebasan bersuara rakyat Malaysia bukan hanya terjamin dan terbela, tapi akan jadi Lebih terperinci bersekali dengan huraian-huraian yang dimasukkan.

"Sebelum ini tidak ada huraian tapi kita masukkan huraian untuk menjadi contoh supaya sama ada dari segi pihak pembelaan, pihak pendakwaan dan juga kehakiman akan dapat menafsirkan dengan lebih terperinci

"Ini bagi saya Lebih baik. Jadi walaupun ada tanggapan daripada beberapa pihak, namun setelah kita kaji lebih dua tahun prosesnya, kita membuat keputusan bahawa kita akan menjadikan beberapa kesalahan lebih berat hukumannya dan lebih tegas tindakan boleh diambil," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS