Laporan penilaian kesan alam sekitar (EIA) mengesyorkan kelulusan operasi lombong emas di Hutan Simpan Gunung Stong di Kelantan.
Selain itu tapak projek perlombongan emas itu terletak di kawasan habitat haiwan yang disenaraikan sebagai terancam dan dilindungi.
Laporan itu menyatakan penampakan spesies terancam seperti tapir Malaya serta gajah Asia dan beruang matahari, yang kesemuanya adalah spesis yang terancam.
Tapak yang dicadangkan itu dipercayai kawasan rayau gajah kerana terdapat bukti seperti kesan tapak kaki dan najis haiwan berkenaan.
Menurut laporan itu, tapak itu terletak di dalam Central Forest Spine, rangkaian koridor ekologi di semenanjung yang bertujuan untuk pemuliharaan dan membolehkan hidupan liar berpindah dari satu hutan ke hutan yang lain.
Lombong itu juga terletak dalam Central Gold Belt, satu kawasan merentasi semenanjung dengan sejarah perlombongan emas berskala kecil.
Emas di lombong ini adalah daripada varieti aluvium, yang bermakna ia ditemui dalam mendapan aluvium di dasar sungai, dalam bentuk habuk dan ketulan.
Namun, aktiviti pembersihan hutan sebelum operasi lombong akan menyebabkan tahap hakisan tanah yang teruk jika langkah-langkah mitigasi yang berkesan tidak diambil.
Hakisan tanah berisiko membawa banjir, memandangkan perubahan topografi boleh mengakibatkan apa yang laporan itu sifatkan sebagai "peningkatan luar biasa" air yang tidak terkawal di bawah tanah.
Laporan itu juga menyatakan bahawa kawasan itu tidak terdedah kepada banjir walaupun 100 peratus penduduk menyatakan banjir merupakan isu semasa.
Sehubungan itu, laporan itu mengesyorkan pembinaan lima kolam takungan air untuk membantu mengawal banjir di hilir.
Selain banjir kilat dan banjir monsun, penduduk yang ditinjau turut menyatakan kebimbangan mengenai gangguan daripada hidupan liar.
“Difahamkan masyarakat setempat sepakat tidak bersetuju (71.7 peratus) dengan cadangan projek itu kerana isu alam sekitar yang akan menjejaskan kualiti hidupan,” kata laporan itu lagi.
Kajian itu meliputi seramai 106 responden daripada isi rumah berbeza yang terletak dalam radius lima kilometer (km) dari tapak projek.
Mereka berasal dari lapan penempatan Orang Asli, dengan sebahagian besar daripada mereka berasal dari Kampung Bering Baru, kurang satu kilometer daripada lokasi tapak projek.
Jutaan Ringgit sebulan
Laporan itu menganggarkan hampir 8kg emas boleh dikeluarkan dari lombong berkenaan setiap bulan.
Projek itu boleh mendatangkan pendapatan kira-kira RM2.38 juta sebulan dengan cukai kepada kerajaan persekutuan berjumlah RM388,235.
Pemegang lesen perlombongan, pengendali dan kontraktor projek ini ialah Kumnara Holding Sdn Bhd.
Pengarah syarikat itu termasuk pengerusi Kumpulan Naza SM Faisal SM Nasimuddin Kamal.
Jabatan Alam Sekitar menerbitkan laporan itu pada 26 Nov dan akan menerima maklum balas daripada orang ramai sehingga 10 Jan melalui borang yang boleh diperolehi di sini.