Pemberi maklumat yang mendedahkan dakwaan skandal rasuah di Sabah didakwa mengugut Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor, menurut laporan Free Malaysia Today (FMT).
Memetik sumber, laporan tersebut juga mendakwa ahli perniagaan berkenaan telah menawarkan rasuah kepada pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu.
“Beliau berulang kali menyatakan, jika lembaga pengarah (Sabah Mineral Management) tidak meluluskan lesen prospek untuk syarikatnya, dia akan mengeluarkan kenyataan media untuk menjatuhkan kerajaan,” kata sumber yang enggan namanya disiarkan.
Sumber itu mendakwa jika Hajiji meluluskan lesen berkenaan, ahli perniagaan tersebut berjanji tidak akan ‘memusnahkan kerajaan’, sebaliknya akan memberikan sokongan penuh kepada kerajaan negeri.
“Walaupun diugut, Hajiji tetap dengan pendiriannya. Beliau juga tidak berganjak walaupun ahli perniagaan itu menawarkan wang,” kata sumber tersebut.
Menurut sumber itu lagi, tidak sampai dua bulan kemudian, timbul video yang didakwa mengaitkan beberapa Adun Sabah dengan skandal perlombongan.
Pemberi maklumat itu mendakwa video yang dirakam menggunakan kamera pen itu memaparkan perbincangan dengan ahli politik tentang dakwaan rasuah yang diberikan sebagai balasan untuk menyokong kelulusan lesen carigali mineral di Sabah.
Video tersebut juga mendakwa lesen cari gali itu diberikan oleh Hajiji sebagai "hadiah" kepada mereka yang menyokongnya semasa krisis politik Sabah pada 2023.
Video itu juga mencadangkan bahawa ketua menteri dikatakan tahu mengenai dakwaan sogokan yang diterima oleh Adun-Adunnya.
Dalam klip video yang memaparkan Timbalan Ketua Menteri II Shahelmey Yahya, apabila ditanya sama ada dia telah "mengisytiharkan bahagiannya" kepada Ketua Menteri, Shahelmey menjawab dengan samar:
"Kita kata… ini saya belum minta, orang lain semua sudah minta, saya belum ada'... Oh itulah dia (ketua menteri) sign. Ah, ingat kau check la, dia bilang, kalau masih ada ini, itu saja,"
"Meaning dia taulah ini dia punya portion, ini you punya portion.
Dalam video yang sama, Shahelmey diberitahu bahawa dia diberi wang tunai "RM400,000".
Begitu juga, dalam klip lain yang memaparkan ADUN Sindumin Yusof Yacob, dia ditanya soalan yang sama dan menjawab bahawa ketua menteri dikatakan "tahu" bahawa dia "mendapat sesuatu sebagai balasan".
Yusof juga mengakui bahawa dia dikatakan menerima "hadiah" daripada ketua menteri kerana menyokongnya.
Dalam video yang memaparkan ADUN Kemabong Rubin Balang, ahli politik veteran itu berkata dia telah meminta "dua" daripada ketua menteri tetapi diberikan "satu".
Rubin, yang juga pengerusi syarikat milik negeri Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (Sedco) tidak menjelaskan apakah “satu” dan “dua” itu.
Namun berdasarkan sari kata, ia merujuk kepada lesen.
Pemberi maklumat berkata dia tidak menawarkan rasuah kepada Rubin dan video itu bertumpu pada rundingan menggunakan firma kepunyaan anak ahli politik itu untuk mendapatkan lesen cari gali.
Namun perbincangan itu kelihatan menemui jalan buntu apabila Adun tersebut menyifatkan tawaran RM3 juta itu sebagai "membazir masanya".
Semalam, Ketua Penerangan Warisan Mohd Azis Jamman berkata pembatalan lesen cari gali itu tidak membebaskan kesalahan rasuah.
Hajiji mendakwa video itu, yang kini dalam siasatan SPRM, bertujuan untuk menjatuhkan kerajaannya.