Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'MIC mati-mati takkan setuju formula kerusi penyandang'

Timbalan Presiden MIC M Saravanan menegaskan dia tidak setuju dengan cadangan kerusi MIC yang dimenangi oleh parti tertentu akan terus ditandingi parti tersebut dalam PRN akan datang.

Dia berkata Barisan Nasional mempunyai tradisi berkongsi kerusi antara parti komponen.

"Tidak sesuai untuk MIC dan Umno. Itu formula yang salah, tuan.

“MIC mati-mati tak akan setuju," katanya ketika berucap pada sambutan ulang tahun ke-50 BN di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.

Saravanan merujuk kepada MIC yang menyerahkan kerusi Parlimen Cameron Highlands kepada Umno serta kerusi Tanjung Piai kepada MCA.

Sekiranya formula kerusi penyandang dilaksanakan ketika itu, Umno tidak akan memiliki kerusi Cameron Highlands, jelasnya.

"Kita lihat semangat kita. MIC menang Cameron Highlands, bukan kalah. Kita menang Cameron Highlands tetapi apabila kita lihat lebih sesuai kita letak calon Umno untuk memang, kita serahkan kerusi kepada Umno.

"Kalau kita nak guna formula sekarang menang simpan kerusi, kita tak akan bagi Cameron Highlands kat Umno.

"Sama juga Tanjung Piai. Pendirian kita, kita nak letak calon Umno tetapi presiden BN, Datuk Seri (Ahmad Zahid Hamidi), buat keputusan: Tak apa, kita serah kepada MCA. Itulah semangat kita.

"Hari ini kita (lihat) semangat yang sama di tempat lain," katanya.

Sebelum ini, kata Saravanan ketua-ketua sayap pemuda BN akan secara automatik diberikan peluang untuk bertanding dalam pilihan raya.

"Kalau kita nak gunakan formula hari ini, sampai mati mungkin kita tak akan jadi calon," katanya.

Dia seterusnya memuji Zahid sebagai pengerusi BN pertama yang memberikan peluang kepada kumpulan bersekutu Friends of BN untuk bertanding dalam pilihan raya.

"Kalau ikut formula hari ini, Friends of BN sampai last moment, tampal poster saja lah. Itu saja yang ada," katanya.

Pada PRU15 lalu, BN meletakkan empat calon Friends of BN.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS