Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Malaysia tidak boleh berasa selesa dalam soal pertahanan - Khaled

Malaysia tidak boleh berasa selesa dalam soal pertahanan meskipun mengamalkan pendekatan berkecuali dan berusaha menjadi sebuah 'kuasa pertengahan', kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Menurutnya, walaupun Malaysia berkawan dengan semua pihak, namun negara ini tidak boleh mengelak daripada terkesan oleh persaingan antara kuasa-kuasa besar, yang boleh mengganggu rantaian bekalan dan mengancam keselamatan.

"Perang perdagangan, permainan tarif, dan perlumbaan teknologi pertahanan – semuanya kini menjadi keutamaan dalam agenda nasional banyak kuasa besar. Dalam menghadapi persaingan ini, Malaysia tidak boleh sekadar menjadi pemerhati pasif, mahupun hanya mengeluarkan kenyataan untuk meredakan ketegangan dan menganggap semuanya berjalan seperti biasa.

"Persaingan kuasa antara kuasa-kuasa besar pasti akan memberi kesan kepada kita dengan pelbagai tekanan dan impak, oleh itu, kesiapsiagaan kita tidak hanya terhad kepada penyediaan armada pertahanan yang unggul," katanya pada sidang media selepas Majlis Graduasi Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (PUSPAHANAS), di Putrajaya.

Mohamed Khaled turut menegaskan bahawa ancaman bukan tradisional seperti perubahan iklim, bencana alam, dan perkembangan teknologi merupakan cabaran yang perlu dihadapi oleh negara.

Sehubungan itu, beliau berkata Malaysia perlu mengambil langkah proaktif untuk memastikan pertahanannya bersifat kalis masa hadapan (future-proof) dengan meningkatkan pelaburan dalam pembangunan organisasi ketenteraan yang maju dari segi teknologi.

Beliau berkata kerajaan melalui Kementerian Pertahanan mengambil kira keperluan tersebut dalam usaha memodenkan serta melengkapkan aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Kerajaan menurutnya berusaha meningkatkan peruntukan pertahanan bagi memastikan negara bersedia menghadapai apa jua cabaran kepada keselamatan.

“Kerajaan hari ini sangat memahami bahawa walaupun dalam keadaan aman, kita tetap memerlukan kos untuk membiayai keamanan negara. Oleh itu, setiap tahun kerajaan meningkatkan peruntukan untuk sektor pertahanan,” katanya.

Menteri Pertahanan itu berkata diplomasi memainkan peranan penting dalam mempertahankan negara, terutama apabila Malaysia mengamalkan pendekatan ‘berkawan dengan semua’.

“Diplomasi masih relevan, dan kita terus bergantung padanya. Kita akan terus menggunakan diplomasi dalam menghadapi cabaran, bukan sahaja di Laut China Selatan tetapi juga dalam pelbagai aspek pertahanan negara,” katanya.

Pada majlis hari ini, Mohamed Khaled menyempurnakan penganugerahan sijil kursus dan lencana kepada 270 pegawai ATM, pegawai tentera negara asing serta Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) yang berjaya menamatkan pengajian.

Graduan yang terlibat terdiri daripada peserta Maktab Ketahanan Nasional (MKN), Maktab Pertahanan Angkatan Tentera (MPAT), dan Maktab Turus Angkatan Tentera (MTAT).

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS