Harga beras import dari India berjaya diturunkan sedikit hasil rundingan bersama kerajaan India, semasa lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke negara berkenaan pada Ogos lepas.
Anwar berkata kerajaan Persekutuan komited dalam meringankan beban rakyat khususnya dalam memastikan barangan keperluan asas ditawarkan pada harga yang rendah.
"Mereka (India) bersetuju menjual beras dengan harga lebih murah. Kita berharap langkah ini dapat meringankan beban masyarakat," kata beliau dalam ucapan semasa Majlis Peluncuran Jualan Termurah MADANI di Kampung Masjid Timah di Butterworth hari ini.
Anwar berkata penganjuran program jualan murah mampu menjadi persaingan yang sihat sekali gus memberi tekanan kepada harga pasaran supaya dapat diturunkan.
Perdana Menteri berkata Jualan Termurah MADANI yang berlangsung sehari itu menawarkan 1,000 ekor ayam dan 200 kampit beras secara percuma kepada pengunjung.
Selain itu, beliau berkata pengunjung juga boleh membeli ikan segar yang harganya dijamin lebih murah daripada pasaran kerana ia diambil terus daripada kapal nelayan.
"Ikan segar boleh didapati dengan harga murah jika diperoleh secara langsung daripada nelayan tanpa orang tengah, sebab itu kita galakkan para nelayan untuk menggunakan aplikasi berkaitan supaya orang ramai boleh beli secara langsung daripada mereka sekali gus mewujudkan persaingan yang sihat dalam pasaran," kata beliau.
Anwar turut meluangkan masa kira-kira 30 minit pada program itu sambil menyantuni peniaga dan pengunjung yang hadir.
- Bernama