Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Satira, parodi bukan lagi jenayah selagi tidak ‘jelik melampau’ - Fahmi
Diterbitkan:  Dec 7, 2024 9:39 AM
Dikemaskini: 1:39 AM

Pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 akan memastikan kandungan parodi dan satira tidak lagi dianggap sebagai jenayah, kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.

Dalam temu bual bersama Astro Awani semalam, Fahmi berkata pindaan itu menetapkan garis panduan yang jelas bahawa kandungan sedemikian tidak menjadi kesalahan, melainkan ia melampaui batas.

"Maksudnya satira dan parodi bukan jenayah tapi ada batasnya juga. Katalah dia sampai, kalau kita ingat di Perancis dulu, kartunis Charlie Hebdo sehingga melakar gambar nabi, itu jelik melampau," katanya.

Charlie Hebdo merupakan majalah mingguan satira dari Perancis, terkenal dengan kartun yang menyerang pemimpin politik dan melakukan provokasi terhadap agama.

Penerbitannya juga sering dikaitkan dengan serangan militan, termasuk tembakan pada tahun 2015 di pejabatnya di Paris yang mengorbankan 12 orang.

Fahmi berkata, kerajaan berusaha mengimbangi kebebasan dan hak bersuara rakyat dalam batas yang khusus, dengan tumpuan akan diberikan kepada kandungan yang “jelik melampau”.

Pada masa ini, bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia, adalah menjadi kesalahan untuk menggunakan kemudahan rangkaian bagi menyampaikan apa-apa komen, permintaan, cadangan atau komunikasi lain yang lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau mengganggu orang lain.

Pengkritik menggelar undang-undang ini sebagai ‘Akta Sakit Hati’ kerana ia dianggap kabur dan sering disalah guna untuk menyasarkan individu yang mempunyai pandangan berbeza.

Pindaan yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada 2 Disember lalu antara lain menggantikan perkataan “jelik” kepada “jelik melampau”.

Ia turut menghuraikan perkara yang dianggap lucah, tidak senonoh, palsu, mengancam, atau jelik melampau.

Istilah 'jelik melampau' kini dikhususkan kepada kandungan yang sangat menyinggung perasaan, termasuk ucapan kebencian dan keganasan.

Sesuatu kandungan tidak akan dianggap “palsu” di bawah Seksyen 233 jika ia berbentuk satira, parodi, atau karya fiksyen yang jelas.

Fahmi turut menjelaskan komunikasi yang dibuat dengan niat baik dan berdasarkan fakta atau pendapat tidak akan dianggap sebagai jelik melampau.

Dalam temu bual tersebut, Fahmi berkata, Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan, telah meneliti pindaan yang dicadangkan dan mengesahkan bahawa satira dan parodi tidak akan dianggap jenayah di bawah undang-undang ini.

Syahredzan sebelum ini merupakan peguam kepada Fahmi Reza, seorang artis grafik dan aktivis yang sering disiasat dan didakwa di bawah Seksyen 233 kerana kartun satiranya yang mengkritik tokoh politik, termasuk menggambarkan bekas perdana menteri Najib Razak sebagai badut.

Berkenaan isu sensitif seperti kaum, agama, dan institusi diraja (3R), Fahmi menjelaskan pindaan undang-undang ini tidak secara khusus menyasarkan isu tersebut, tetapi bergantung kepada kandungan yang dianggap jelik melampau.

"Kita tidak melihat kepada kategori 3R, kebiasaannya apa yang melanggari, apa yang kita kenal sebagai 3R ni, dia akan ada dalam elemen melampau itu.

“Jadi bukan sekadar jelik, tapi jelik melampau, jadi kita akan lebih fokus kepada itu," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS