GLOBAL | Utusan Khas Presiden Indonesia, Miftah Maulana Habiburrahman, hari ini meletakkan jawatannya selepas tular video menunjukkan dia menghina seorang penjual teh ais bulan lalu.
Dalam kenyataan yang penuh emosi, dia yang dikenali sebagai Gus Miftah berkata, keputusan tersebut dibuat tanpa tekanan daripada mana-mana pihak.
“Ini adalah keputusan yang saya buat dengan penuh kesedaran, selepas banyak bermuhasabah.
"Saya telah memutuskan untuk meletakkan jawatan,” katanya di Sleman, Yogyakarta dalam kenyataan disiarkan televisyen tempatan.
Penceramah terkenal itu dilantik sebagai Utusan Khas Presiden bagi bidang kerukunan beragama dan pembinaan kemudahan keagamaan.
Dia turut mengucapkan terima kasih kepada Presiden Prabowo Subianto dan memohon maaf kerana tidak memenuhi harapan dalam melaksanakan tanggungjawabnya.
Sementara itu, Ketua Pejabat Komunikasi Presiden, Hasan Nasbi, dilaporkan berkata kerajaan Indonesia menghormati keputusan Miftah.
Dalam video yang tular itu, Miftah mengeluarkan kata-kata tidak sopan terhadap penjual terbabit dalam kejadian di hadapan peserta sebuah acara di Magelang, Jawa Tengah.
Insiden berlaku pada 20 Nov itu kemudian mencetuskan kecaman meluas di media sosial.
Petisyen menyeru pemecatan Miftah daripada jawatannya di Change.org mendapat 318,479 tanda tangan.
“Terima kasih kepada yang ikut serta menyebar dan menandatangan petisyen. Kita berhasil menyelamatkan adab di negeri ini,” tulis petisyen itu.
Pada Rabu lalu Miftah menziarahi rumah penjual itu di Magelang untuk memohon maaf dan mengakui ditegur oleh Setiausaha Kabinet Indonesia, Mejar Teddy Indra Wijaya, agar berhati-hati ketika bercakap di khalayak ramai.
Pada masa sama sejumah individu tampil menghulurkan bantuan kepada penjual teh ais termasuk memberikan wang tunai, tajaan umrah dan pendidikan untuk dua orang anaknya yang masih bersekolah.
- Bernama