Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pencemaran air: Selangor arah serbuan bersepadu di Kuang

Kerajaan negeri Selangor telah mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang bertanggungjawab di kawasan Kuang untuk menyelaraskan operasi penguatkuasaan undang-undang bersepadu ke atas semua kilang di kawasan tersebut.

Tindakan ini susulan gesaan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span) semalam supaya serbuan bersepadu segera diadakan bagi memastikan kilang-kilang di Kuang tidak mencemarkan anak sungai yang mengalir ke Sungai Selangor, sumber air utama bagi negeri itu.

Exco kerajaan negeri Selangor, Ng Suee Lim, yang bertanggungjawab ke atas portfolio kerajaan tempatan, berkata dia telah mengarahkan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) untuk segera mengatur pemeriksaan bersama agensi-agensi lain.

Ng Suee Lim

“Saya dah arahkan MPS dan juga dia akan membuat tindakan bersepadu bersama Jabatan Alam Sekitar, Lembaga Urus Air Selangor dan juga pejabat tanah untuk turun ke lapangan dan Jabatan Pengairan dan Saliran turun ke lapangan untuk pemeriksaan dan kenalpasti kawasan sekitar Kuang dan Sungai Kuang, ada lagi tak wujud kilang-kilang selain daripada kes itu,” katanya.

Pencemaran bau di Sungai Selangor

Pada 23 Julai, Air Selangor terpaksa menutup sementara empat loji rawatan air di negeri itu akibat pencemaran bau yang kemudian dikesan berpunca daripada sebuah kilang kitar semula di Jalan Kampung Orang Asli Kuang.

Insiden itu menyebabkan gangguan bekalan air di sekitar 1,140 kawasan di Selangor.

Susulan kejadian tersebut, Span telah mengadakan siasatan pada bulan Ogos, yang mendedahkan bahawa pencemaran tersebut berpunca daripada sebuah kilang haram. Kilang itu menggunakan bahan kimia pelarut berbahaya, polimetil metakrilat (PMAA), untuk mengitar semula sisa plastik.

Selain itu, siasatan mendapati sebuah perniagaan kitar semula tempatan telah menyewakan premis tersebut dan secara haram meminjamkan permit mereka kepada syarikat milik asing.

Lebih membimbangkan, siasatan juga mendedahkan bahawa perniagaan tempatan itu telah membuat pengalihan tidak sah terhadap anak sungai untuk melalui kawasan premis mereka, dipercayai digunakan sebagai tempat pembuangan sisa.

Kerajaan negeri Selangor menegaskan komitmen mereka untuk mencegah insiden seperti ini daripada berulang melalui penguatkuasaan tegas dan pemeriksaan berterusan.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS