Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kenapa titah adendum dikatakan hanya khabar angin? - PAS
Diterbitkan:  Dec 6, 2024 3:46 PM
Dikemaskini: 7:52 AM

PAS menuntut kerajaan memberi penjelasan mengenai kewujudan titah adendum oleh bekas Yang di-Pertuan Agong yang menitahkan bekas perdana menteri, Najib Razak menjalani baki hukuman penjara di rumah.

Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari berkata, jawapan Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail di Dewan Rakyat bulan lalu bahawa titah adendum itu hanyalah khabar angin tidak mencukupi untuk meredakan keresahan masyarakat.

"Sebaliknya ia memperlihatkan kegagalan kerajaan dalam memberikan jawapan yang telus, khususnya dalam perkara yang melibatkan integriti institusi diraja dan keadilan sistem perundangan negara.

“Mengapa isu ini dianggap hanya khabar angin tanpa penjelasan lanjut? Jika benar tiada titah adendum, kerajaan perlu membuktikan dengan dokumen rasmi dan bukan sekadar kenyataan retorik.

“Kegagalan menjawab persoalan ini hanya akan mengukuhkan persepsi bahawa kerajaan sedang menyembunyikan sesuatu,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, anak sulung Najib, Muhammad Nizar memfailkan afidavit yang mengesahkan bahawa Sultan Pahang memberitahunya tentang kewujudan titah tambahan supaya bekas perdana menteri itu menjalani baki hukuman penjara enam tahun menerusi penahanan dalam rumah.

Sumber yang rapat mengesahkan kepada Malaysiakini bahawa Nizar memfailkan afidavit itu sebagai sebahagian daripada permohonan untuk mengemukakan bukti tambahan.

Pada 7 Nov lalu, Saifuddin memberitahu Dewan Rakyat bahawa mahkamah memutuskan titah adendum itu hanyalah khabar angin (hearsay).

Dalam jawapannya kepada pertanyaan beberapa Ahli Parlimen, Saifuddin merujuk mereka kepada keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Julai yang menolak tindakan undang-undang Najib untuk mengesahkan kewujudan adendum itu.

Mengulas lanjut, Ahmad Fadhli berkata jawapan Saifuddin menunjukkan keengganan kerajaan untuk menjelaskan fakta kepada wakil rakyat di parlimen.

“Ini satu penghinaan kepada Parlimen, yang sepatutnya menjadi ruang terbaik untuk mendebatkan isu penting seperti ini secara terbuka," tegasnya.

Justeru katanya, PAS menuntut agar kerajaan segera memberikan penjelasan penuh dan bertanggungjawab terhadap isu ini.

"PAS ingin mengingatkan kerajaan bahawa amanah kepimpinan adalah untuk berkhidmat kepada rakyat dengan penuh integriti, bukan untuk menutup kelemahan pentadbiran melalui pembohongan dan manipulasi maklumat.

“Kerajaan mesti bertindak segera untuk membuktikan bahawa integriti sistem keadilan negara masih terpelihara dan bebas daripada campur tangan politik,”katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS