Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyifatkan penemuan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung isu kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah, dan Tubir Selatan sebagai pendedahan kelemahan besar, yang dari sudut tertentu, boleh dianggap sebagai pengkhianatan terhadap negara.
"RCI itu mendedahkan kelemahan, bahkan daripada satu sudut, pengkhianatan yang berlaku kerana setiap inci tanah kita itu patut kita perjuangkan habis-habisan.
“Tapi nampak ada satu kegagalan (oleh kerajaan ketika pimpinan Dr Mahathir Mohamad). Ini telah didedahkan (dalam RCI)," katanya kepada wartawan selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Al-Manar, Presint 14, di Putrajaya, hari ini.
Perdana Menteri menegaskan, pendedahan RCI yang menunjukkan tindakan Dr Mahathir menarik balik permohonan membatalkan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), bukan perkara ringan dan jelas menunjukkan wujudnya kelemahan.
Namun, katanya, proses undang-undang perlu dihormati, dan langkah seterusnya akan bergantung kepada perkembangan proses tersebut.
"Bagi saya, bukan satu perkara yang ringan iaitu apa-apa kesalahan yang terbabit dalam soal menyerahkan kedaulatan dianggap satu pengkhianatan besar kepada negara," katanya lagi.
Semalam, laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan setebal 217 muka surat diedarkan kepada ahli Parlimen di Dewan Rakyat.
Ia antara lain mengesyorkan siasatan jenayah boleh dimulakan terhadap bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad.
Prosiding diusulkan itu susulan Malaysia kehilangan Batu Puteh kepada Singapura selepas Jemaah Menteri yang diketuai Dr Mahathir pada 2018 menarik balik permohonan membatalkan keputusan ICJ.