Kapten Buriram United Theerathon Bunmathan memohon maaf kepada pasukannya kerana memicit bahagian bawah pinggang pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) JDT Arif Aiman Hanapi, yang menyebabkan dia dibuang padang.
Mengakui perkara itu tidak wajar, Theerathon meluahkan rasa kesal kerana gagal mengawal emosi dan tidak menunjukkan contoh yang baik untuk pemain lebih muda.
“Saya tidak tahu bagaimana untuk menyatakan rasa maaf selain daripada mengucapkan maaf dengan sepenuh hati,” kata pemain berusia 34 tahun itu.
Menulis di media sosial, dia justeru berkata faham dengan kemarahan penyokong kerana dia sendiri marah dan kecewa dengan diri sendiri.
Permohonan maaf itu diluahkan semalam, dua hari selepas pertembungan tegang antara Buriram dan JDT, dua kelab gergasi Asia Tenggara dalam Aksi Liga Juara-Juara AFC Elit (Acle).
3 kad merah, 4 kad kuning
Dalam perlawanan yang menyaksikan tiga kad merah dan empat kad kuning dikeluarkan itu, Theerathon menjadi pemain kedua dibuang padang selepas mencubit bahagian bawah pinggang Arif Aiman.
Keadaan itu sekali gus menamatkan kelebihan Buriram yang rancak menyerang JDT yang bermain dengan 10 orang lebih awal.
Pertembungan dua ‘raja Asean’ di Gelang Patah, Johor itu bagaimanapun berakhir seri tanpa jaringan, meletakkan JDT di tangga keenam dan Buriram kelapan di peringkat kumpulan.
JDT menerima kad merah seawal minit ke-12 selepas Murillo Henrique menjatuhkan pemain pertahanan Dion Cools, yang juga pemain kebangsaan Malaysia, ketika berpeluang menjaringkan gol awal.
Di hujung perlawanan, turut mendapat kad merah ialah pemain pertahanan JDT daripada Korea Selatan Park Jun-heong.