Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
AS halang saya dapatkan bukti berkaitan 1MDB atas motif politik, kata Najib
2

BICARA 1MDB l Bekas perdana menteri Najib Razak mendakwa bahawa tindakan pentadbiran Joe Biden di Amerika Syarikat (AS) menghalangnya daripada mendapatkan bukti berkaitan 1MDB adalah bermotifkan politik.

Najib mendakwa bekas peguam negara AS, Loretta Lynch, telah menghalang permohonannya di mahkamah negara itu untuk mendapatkan keterangan daripada Tim Leissner, bekas pegawai bank Goldman Sachs yang telah disabitkan kesalahannya.

"Jelas sekali ini bermotifkan politik. Bukti itu bersifat untuk meringankan tuduhan. Saya cenderung untuk menggunakan istilah Melayu, 'bukti yang boleh melepaskan seseorang'.

"Ia akan menunjukkan bahawa apa yang mereka (kerajaan AS) lakukan, termasuk bekas peguam negara AS Loretta Lynch yang tampil dengan cara yang begitu luar biasa dan tidak pernah berlaku sebelum ini, adalah suatu sandiwara.

"Dengan adanya bukti ini, ia akan membuktikan bahawa semua ini sangat bermotifkan politik. Saya fikir itulah sebab utama mereka cuba menghalangnya (permohonan penemuan Najib), memandangkan mereka adalah  daripada parti yang sama (Parti Demokrat AS).

"Sekarang, dengan perubahan kerajaan (di AS), mungkin saya boleh mendapatkan bukti tersebut," kata Najib ketika merenung pilihan raya presiden yang dimenangi oleh Donald J Trump daripada Parti Republikan.

Ketika peguam bela Muhammad Shafee Abdullah bertanya mengapa AS berminat untuk menghalang tertuduh daripada mendapatkan bukti, Najib menjawab “Saya hanya boleh membuat spekulasi”.

[Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan bahawa Najib  memberitahu Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur  hari ini bahawa beliau sentiasa telus mengenai dana yang didepositkan ke dalam akaunnya di AmIslamic, dan secara konsisten kekal dengan anggapan bahawa ia adalah derma daripada Raja Arab Saudi Almarhum Raja Abdullah, sebagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan pembiayaan politik.

Bekas perdana menteri itu berkata beliau tidak ada apa-apa untuk disembunyikan, dengan menyatakan bahawa beliau segera memaklumkan Pengarah Urusan Kumpulan AmBank ketika itu, Cheah Tek Kuang sebaik sahaja mengetahui beliau akan menerima sumbangan daripada keluarga diraja Saudi.

"Saya ingin menegaskan bahawa saya telus sejak awal dan segera memaklumkan kepada Cheah mengenai perkara ini (penerimaan derma) apabila saya membuka akaun, satu langkah yang tidak diwajibkan bagi saya untuk diambil, terutama memandangkan pada masa itu saya adalah contoh apa yang ditakrifkan sebagai orang yang ‘paling terdedah’ secara politik.

"Saya juga meminta Cheah memaklumkan kepada Bank Negara Malaysia, dan beliau memang lakukan perkara itu, memberitahu Gabenor ketika itu Tan Sri Zeti Akhtar Aziz," kata Najib ketika membaca jilid pertama kenyataan saksinya setebal 525 muka surat.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu mengambil pendirian membela diri terhadap empat pertuduhan menggunakan kedudukannya bagi mendapatkan RM2.3 bilion dana 1MDB sebagai rasuah dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Najib berkata dana itu dibelanjakan mengikut amanah yang diberikan oleh Almarhum Raja Abdullah kepadanya, dan beliau dengan teliti merekodkan semua perbelanjaannya dengan mengeluarkan cek daripada akaun AmIslamic untuk memastikan ketelusan dan dokumentasi yang betul.

“Apa yang lebih membimbangkan ialah bukti jelas yang menunjukkan persekongkolan Shahrol Azral Ibrahim Halmi (bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB), Jasmine Loo (bekas peguam 1MDB) dan lain-lain dengan ahli perniagaan buruan Low Taek Jho dalam penyelewengan berbilion-bilion daripada 1MDB, yang nampaknya diketepikan, dimaafkan atau diabaikan begitu sahaja. 

"Bagi saya, ini amat meresahkan dan bersifat peribadi, kerana ia menunjukkan bahawa peranan utama mereka dalam kes ini bukan untuk mencari kebenaran tetapi untuk memutarbelitkannya, memberikan keterangan palsu dan mengaitkan saya," katanya.

Pada 30 Okt, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah memerintahkan Najib membela diri terhadap semua 25 pertuduhan, selepas memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya mewujudkan kes prima facie terhadapnya pada akhir kesnya.

Perbicaraan bersambung pada hari Isnin.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
2
ADS