Polis menahan seorang pengurus restoran selepas mendapati menggunakan peralatan hidangan makanan dan minuman yang memaparkan gambar pemimpin komunis di restoran terbabit di Bandar Botanic, Klang, semalam.
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata serbuan dijalankan sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan pada 10 malam susulan maklumat yang didedahkan menerusi satu video di Youtube dimuat naik pemilik akaun ‘luiswong90’.
“Susulan daripada itu, polis telah menyerbu restoran tersebut dan menahan seorang lelaki berusia 20 tahun yang merupakan pengurus restoran terbabit.
“Dalam serbuan tersebut, polis turut merampas lima mangkuk seramik putih tercatit tulisan bahasa Cina dan gambar muka Presiden Komunis China, Mao Zedong bersama rakan-rakannya,” katanya ketika dihubungi.
Razarudin berkata turut dirampas cawan kaca teh seramik dengan tulisan bahasa Cina berserta gambar, sudu sup seramik yang mempunyai gambar Mao Zedong serta resit perniagaan.
“Hasil soal siasat mendapati suspek telah bekerja sejak Oktober tahun lepas dan barang-barang peralatan hidangan tersebut telah dibeli oleh rakan pemilik restoran itu yang tinggal di China untuk digunakan di restoran berkenaan.
“Permohonan reman ke atas suspek telah dibuat di Mahkamah Majistret Klang selama dua hari sehingga esok untuk siasatan lanjut dan semakan lesen akan dibuat ke Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK),” katanya.
Beliau berkata semakan ke atas pemilik akaun ‘luiswong90’ akan dibuat kepada Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (MCMC).
Pada 17 Nov lepas, tular satu video di Youtube yang memaparkan sebuah restoran menggunakan peralatan hidangan makanan dan minuman mempunyai gambar pemimpin komunis China.
- Bernama