Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Bekas Perdana Menteri Najib Razak berkata tiada apa yang hendak disembunyikan dan dia sentiasa bersikap telus berhubung isu kemasukan dana ke akaun banknya.

Ketika menangkis tuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram melibatkan RM2.27 bilion daripada dana 1MDB, bekas Menteri Kewangan itu hari ini menegaskan bahawa dia telah memaklumkan kepada AmBank dan mengharapkan bank komersial itu memaklumkan perkara itu kepada Bank Negara Malaysia (BNM).

Najib menjelaskan dia diberitahu mengenai sumbangan yang akan diterima daripada Almarhum Raja Abdullah dari Arab Saudi, dan telah memaklumkan kepada Pengarah Urusan AmBank ketika itu, Cheah Tek Kuang, apabila dia membuka akaun dengan bank berkenaan.

Najib juga menegaskan dia adalah individu yang terdedah secara politik (politically exposed person) dan telah meminta Cheah memaklumkan perkara itu kepada Gabenor BNM ketika itu, Zeti Akhtar Aziz.

“Saya tiada apa-apa untuk disembunyikan. Dana tersebut dibelanjakan mengikut amanah yang diberikan oleh (Almarhum) Raja Abdullah dari Arab Saudi, untuk tujuan politik dan tanggungjawab sosial korporat (CSR).

“Saya merekodkan semua perbelanjaan saya dengan teliti melalui pengeluaran cek dari akaun AmIslamic bagi memastikan ketelusan dan dokumentasi yang betul,” kata Najib kepada Hakim Perbicaraan Collin Lawrence Sequerah pagi ini.

Bekas perdana menteri itu mendakwa dia tidak mempunyai pengetahuan atau penglibatan dalam salah laku di 1MDB, dan penyelewengan dirancang sepenuhnya oleh Low Taek Jho (Jho Low) serta anggota pengurusan dana kekayaan negara tersebut.

Najib menyatakan kebimbangannya terhadap tindakan pihak pendakwaan yang mengabaikan bukti jelas mengenai penglibatan bekas CEO 1MDB, Shahrol Azral Ibrahim Halmi, bekas penasihat undang-undang Jasmine Loo, serta individu lain yang didakwa bersekongkol dengan Low untuk menyeleweng dana milik entiti kerajaan tersebut.

“Bagi saya, ini amat meresahkan dan bersifat peribadi, kerana ia mencadangkan bahawa peranan utama mereka dalam kes ini bukan untuk mencari kebenaran, tetapi untuk memesongkannya, memberikan keterangan palsu, dan mengaitkan saya dalam sesuatu yang kelihatan seperti pendakwaan bermotifkan politik dengan tujuan semata-mata untuk mendapatkan sabitan terhadap saya.

“Ini bukan usaha sebenar untuk mencari kebenaran atau keadilan. Sebaliknya, ini adalah usaha terancang untuk mendiamkan saya sebagai pesaing politik dan memastikan dominasi berterusan pihak lawan saya yang sedang berkuasa,” ujar Najib.

Diarah bela diri

Pada 30 Oktober, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Najib membela diri terhadap empat tuduhan salah guna kuasa dan 21 tuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana RM2.27 bilion daripada 1MDB.

Hakim Collin Lawrence Sequerah memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Najib, berdasarkan keterangan daripada 50 saksi yang dikemukakan sepanjang perbicaraan yang berlangsung selama enam tahun sejak 2019. Najib pertama kali didakwa pada 2018.

Najib kini sedang menjalani hukuman penjara enam tahun atas kesalahan salah guna kuasa yang berasingan melibatkan RM42 juta daripada SRC International, bekas anak syarikat 1MDB.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS