Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pau Marti tinggalkan Harimau Malaya lepas Piala Asean 2024
Diterbitkan:  Dec 5, 2024 8:01 PM
Dikemaskini: 12:01 PM

Pau Marti Vicente mengejutkan dunia bola sepak negara apabila mengesahkan kempen Piala Asean bermula 8 Dis ini hingga 5 Jan 2025 akan menjadi tugasan terakhirnya selaku ketua jurulatih skuad Harimau Malaya.

FAM dalam kenyataan rasmi di Facebooknya hari ini memaklumkan keputusan berkenaan dibuat susulan perbincangan bersama badan induk itu berkaitan penstrukturan semula pengurusan pasukan kebangsaan.

Pau Marti turut memaklumkan keputusan itu adalah sebahagian daripada penstrukturan pasukan negara dan FAM akan melantik ketua jurulatih serta barisan kejurulatihan baru bagi menghadapi kempen Kelayakan Piala Asia 2027 yang akan bermula tahun depan.

“Berikutan itu, saya dan barisan kejurulatihan akan menamatkan perkhidmatan kami bersama skuad Harimau Malaya pada akhir kempen Piala Asean.

“Memang sesuatu yang menyeronokkan untuk meneruskan perjalanan ini bersama-sama, kerana kami telah mengharungi tiga tahun yang menakjubkan di Malaysia, dipenuhi dengan kenangan yang tidak dapat dilupakan,” katanya.

Pau Marti menegaskan Harimau Malaya akan terus berjuang untuk mempertahankan maruah negara dan berharap pemain terutamanya bakat muda dapat menikmati kejohanan tersebut serta merasai suasana luar biasa di Bukit Jalil bersama penyokong setia.

“Mendapat sokongan penonton akan menjadi penghargaan terbesar kepada kami. Saya memberi jaminan bahawa penyokong akan menikmati aksi pasukan pada kejohanan terakhir kami ini.

“Marilah kita bersama-sama dan berikan yang terbaik untuk pasukan ini,” katanya.

Pau Marti dilantik secara rasmi mengendalikan skuad kebangsaan pada Ogos lalu bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan jurulatih dari Korea Selatan, Kim Pan-gon.

Pada kempen Piala Asean 2024, Malaysia bersaing dalam Kumpulan A bersama Thailand selaku juara bertahan, Singapura, Kemboja dan Timor-Leste.

Kumpulan B pula menampilkan naib juara edisi terdahulu, Vietnam, Indonesia, Filipina, Myanmar dan Laos.

Dua pasukan teratas setiap kumpulan akan ke pusingan separuh akhir.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS