Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pencemaran air: SPAN gesa Selangor, JAS serbu kilang satelit di Kuang

Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) hari ini menggesa kerajaan Selangor dan pihak berkuasa alam sekitar menyerbu semua kilang satelit di kawasan Kuang dan memeriksa sama ada mereka membuang sisa ke dalam anak sungai yang mengalir ke Sungai Selangor.

Cadangan itu berdasarkan inkuiri mengenai pencemaran air berkenaan pada Julai lalu, yang telah menyebabkan gangguan bekalan air di 1,140 kawasan di Selangor selama kira-kira seminggu.

Menurut pengerusi SPAN, Charles Santiago, tindakan telah diambil ke atas perniagaan milik asing yang menjalankan operasi kitar semula plastik secara haram yang menyebabkan pencemaran berkenaan, namun mereka mendapati ada banyak lagi kilang menjalankan aktiviti serupa di kawasan itu.

Dia berkata tindakan juga belum diambil terhadap syarikat kitar semula tempatan yang menyewakan premis mereka kepada perniagaan milik warga China, dan membenarkan syarikat itu mengunakan permit kitar semula mereka.

“Kami menggesa Majlis Perbandaran Selayang, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan kerajaan negeri Selangor untuk menggempur di sana.

“Periksa mereka satu-persatu, sama ada lesen mereka, EIA (penilaian kesan alam sekitar). Ini penting kerana berkait kesihatan rakyat.

"Bukan saja pencemaran plastik, tapi juga ada pencemaran pharmaceutical, e-waste.

"Kita kena hentikan perkara ini. Kita perlukan keazaman politik dan itu mesti datang daripada kerajaan negeri," kata Charles pada sidang media yang diadakan di ibu pejabat SPAN di Cyberjaya hari ini.

Pada 23 Julai lepas, Air Selangor terpaksa menutup sementara empat loji rawatan air di negeri itu berikutan pencemaran bau yang kemudiannya dikesan berpunca daripada sebuah kilang kitar semula yang terletak di Jalan Kampung Orang Asli Kuang.

Susulan itu, pihak berkuasa menahan beberapa individu bagi membantu asatan, sebelum mereka mendakwa pemilik kilang itu mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling pada September.

Pemiliknya, warga China bernama Huang Gang, kemudiannya didapati bersalah dan dijatuhi hukuman penjara tiga bulan dan denda RM240,000.

Menurut Charles, syarikat lelaki itu (Syarikat B) telah menyewa premis itu daripada sebuah syarikat tempatan (Syarikat A) yang turut menjalankan dua operasi kitar semula di perkarangan sama.

Siasatan mendapati Syarikat B, yang hanya mempunyai lesen perniagaan, menjalankan aktiviti kitar semula plastik secara haram menggunakan polimetil metakrilat (PMAA), bahan kimia pelarut yang berbahaya kepada kesihatan.

Pencemaran ke Sungai Kuang pada Julai itu berlaku apabila kira-kira tiga tan PMAA telah bocor dari Syarikat B dan mengalir ke dalam longkang dan saluran keluar yang menghubungkan anak sungai yang dikenali sebagai Sungai Lampan Yu.

Air daripada anak sungai itu mengalir ke Sungai Kuang dan akhirnya ke Sungai Selangor.

Charles berkata inkuiri yang dijalankan pada Ogos juga mendapati Syarikat A telah melencongkan air Sungai Lampan Yu secara haram untuk melalui perkarangannya.

Operasi serupa

Bekas ahli parlimen Klang itu berkata SPAN mengetahui bahawa terdapat banyak lagi kilang satelit serupa yang masih beroperasi di kawasan itu.

Siasatan mereka juga mendedahkan bahawa kawasan itu berada di bawah program 'pemutihan' kerajaan negeri baru-baru ini yang menyasarkan kilang haram.

"Kita cadang penambahbaikan dalam proses pemutihan. Sungai perlu dihadkan kepada jenis dan aktiviti perniagaan.

"Luas juga harus diberi kuasa untuk buat keputusan adakah kilang A, B, atau C boleh diberi kelulusan. Sekarang Luas tak ada dalam proses tu. Hanya BPT dan DOE.

"Juga nak tanya mcam mana DOE tak tahu apa berlaku dekat sana, bila tanya dengan mereka, mereka kata renewal dibuat menerusi online.

"Kalau buat renewal online, namun tak tahu apa berlaku di kilang, kita cadang renewal tahun kedua ketiga dibuat secara fizikal," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS