Diarah mahkamah supaya membayar RM750,000 kepada tiga pemimpin DAP, Ahli Parlimen Kepala Batas, Siti Mastura Muhammad mahu meneliti alasan penghakiman penuh sebelum mengambil tindakan lanjut.
"Kita akan tengok alasan penghakiman penuh dahulu sebelum buat apa-apa keputusan," katanya ringkas kepada Malaysiakini, hari ini.
Dia memberi reaksi sedemikian ketika ditanya sekiranya dia akan membuat rayuan susulan keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, semalam.
Semalam Malaysiakini melaporkan pengerusi Lajnah Perpaduan Dewan Muslimat PAS itu kalah dalam kes saman fitnah yang dikenakan terhadapnya.
Hakim Quay Chew Soon mengarahkan Mastura membayar RM300,000 kepada Lim Kit Siang, RM250,000 lagi kepada Lim Guan Eng dan RM200,000 kepada Teresa Kok.
Peguam ketiga-tiga mereka, Sankara Nair, berkata ahli parlimen PAS berkenaan juga perlu dikenakan faedah tahunan lima peratus jika gagal membuat pembayaran mengikut tempoh yang ditetapkan.
Siti Mastura turut diarah membayar kos guaman sebanyak RM25,000 kepada setiap seorang plaintif terbabit.
Dia berdepan saman tersebut kerana mendakwa Kit Siang, Guan Eng dan Kok mempunyai pertalian keluarga dengan pemimpin Parti Komunis Malaya, Chin Peng dan bekas perdana menteri Singapura, Lee Kuan Yew.
Saman itu difailkan di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang di George Town pada 27 Nov.