Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sultan Pahang beritahu saya titah tambahan memang ada - anak Najib
5

Anak Najib Razak, Nizar memfailkan afidavit yang mengesahkan bahawa Sultan Pahang memberitahunya tentang kewujudan titah tambahan supaya bekas perdana menteri itu menjalani baki hukuman penjara enam tahun menerusi penahanan dalam rumah.

Afidavit itu difailkan awal hari ini sebelum perbicaraan Mahkamah Rayuan petang ini mengenai rayuan Najib untuk diberikan kebenaran memulakan semakan kehakiman bagi pelaksanaan titah tambahan itu.

Nizar Najib

Sumber yang rapat mengesahkan kepada Malaysiakini bahawa Nizar memfailkan afidavit itu sebagai sebahagian daripada permohonan untuk mengemukakan bukti tambahan.

Difahamkan terdapat perintah mahkamah yang menyekat orang ramai daripada menjalankan carian fail bagi mengakses dokumen tersebut.

Najib memohon Mahkamah Rayuan supaya  membatalkan keputusan mahkamah tinggi yang sebelum ini menolak permohonannya untuk memulakan semakan kehakiman.

Semakan kehakiman itu bertujuan untuk memaksa pihak berkuasa menguatkuasakan apa yang didakwa sebagai titah tambahan ang memperuntukkan tahanan dalam rumah.

Pada 3 Julai, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Najib untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman.

Hakim Amarjeet Singh memutuskan, antara lain, bahawa semua afidavit yang mendakwa kewujudan titah tersebut hanyalah khabar angin.

Hakim juga memutuskan bahawa afidavit Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail tidak menunjukkan pengetahuan secara langsung mengenai kewujudan arahan tambahan tersebut.

Amarjeet menyatakan bahawa kedua-dua afidavit tersebut hanya merujuk kepada Menteri Pelaburan, Perdagangan, dan Industri, Tengku Zafrul Abdul Aziz, yang mendakwa kewujudan titah tambahan tersebut.

Hakim turut menekankan bahawa Najib tidak pernah cuba mendapatkan pengesahan daripada Zafrul mengenai kewujudan titah tambahan itu sejak awal.

Amarjeet juga memutuskan bahawa dua afidavit Najib yang menyokong tindakan permohonan kebenaran semakan kehakiman itu hanya mengandungi “kenyataan kosong tanpa menyebut sumber atau kepercayaannya terhadap kewujudan arahan tambahan itu”.

Najib memfailkan permohonan kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman pada 1 April lalu, semasa menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang atas kes rasuah RM42 juta SRC International.

Tindakan tersebut menyasarkan tujuh responden, termasuk kerajaan persekutuan, menteri dalam negeri, peguam negara, dan Lembaga Pengampunan Kuala Lumpur, Labuan, dan Putrajaya.

Bekas ahli Parlimen Pekan itu memohon perintah mahkamah untuk memaksa responden mengesahkan titah tambahan yang didakwa itu, yang dikatakan dikeluarkan pada hari sama dengan titah utama pada 29 Januari.

Perintah titah utama tersebut mengurangkan hukuman penjara awal Najib dari 12 tahun kepada enam tahun dan denda dari RM210 juta kepada RM50 juta.

[Baca berita penuh]



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
5
ADS