Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Suami Zahnita Wilson dituduh salah guna dadah, cederakan isteri

Suami kepada bekas model, Zahnita Wilson, Abd Zackery Ghouse Abd Gafoor, didakwa dengan dua pertuduhan menyalahgunakan dadah dan mencederakan isterinya di Mahkamah Majistret Kuantan, Pahang pagi ini.

Bagi pertuduhan pertama, Abd Zackery Ghouse didakwa melakukan kesalahan menggunakan dadah berbahaya pada 2 Dis lalu di pejabat narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan, Pahang, jam 5.45 petang.

Dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan majistret Raja Norshuzianna Shakila Raja Mamat.

Pendakwaan bagi kes itu dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Luqman Hakim Mohamad Usari.

Tertuduh diwakili peguam, Muhammad Amirull Afiqq Mohamad Lokman.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,600 dan menetapkan 7 Feb tahun hadapan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Sementara itu, dalam prosiding di Mahkamah Majistret Kuantan membabitkan pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, Abd Zackery Ghouse didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Zahnita.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 8.20 pagi, 5 Mei lalu di sebuah rumah dekat Indera Mahkota, dekat Kuantan.

Pendakwaan bagi kes itu dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, B Deevagaran Naidu.

Abd Zackery Ghouse mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan itu dibacakan di hadapan majistret Tengku Eliana Tengku Kamaruzaman.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dan tarikh sebutan semula ditetapkan 7 Jan depan.

Abd Zackery Ghouse sebelum ini ditahan selepas hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, Seksyen 323 akta sama dan Seksyen 18 Akta Keganasan Rumah Tangga.

Media sebelum ini melaporkan Zahnita memuat naik satu hantaran di media sosial yang mengejutkan ramai apabila berkongsi dua foto menampakkan matanya lebam.

Dia mendakwa suaminya itu menumbuknya selepas bertanya mengenai kehadiran orang ketiga dalam hubungan mereka.

Pasangan itu dilaporkan mendirikan rumah tangga pada tahun 2005 dan memiliki empat anak.

Perkahwinan pasangan itu dilaporkan bermasalah sejak tahun 2007, namun mereka cuba mencari jalan untuk berdamai.

Zahnita pernah memfailkan perceraian pada tahun 2012 tetapi menariknya semula, awal tahun 2015.

Bekas pelakon itu juga sebelum ini dilaporkan menuntut hak penjagaan kedua-dua anaknya dengan disusuli tindakan Zahnita memfailkan semula perceraian pada 28 Dis 2015.

Dia pernah menjadi pensyarah dalam bidang fesyen di sebuah IPTS di Shah Alam, Selangor sekitar tahun 2015.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS