Aminul Islam Abdul Nor sering dilihat bergambar bersama menteri dan kerabat diraja dan namanya kerap disebut dalam laporan korporat berkaitan perjanjian bernilai ratusan juta ringgit.
Namun, masyarakat umum Malaysia tidak banyak tahu bagaimana pengasas Bestinet ini menjadi tokoh utama perniagaan pekerja asing yang menguntungkan.
Bestinet syarikat di sebalik Sistem Pengurusan Pusat Pekerja Asing (FWCMS), yang digunakan kerajaan untuk memproses ratusan ribu pekerja asing yang tiba di Malaysia setiap tahun.
Nama “Dato’ Sri Amin” atau “Amin Bangla” versi gelaran negatif berbaur xenofobia (kebencian kepada orang asing) telah lama berlegar di ruang siber Malaysia. Ini sebelum FWCMS menjadi laporan utama berita atau dakwaan pengubahan wang haram baru-baru ini yang dinafikan oleh Aminul.
Menjelang Pilihan Raya Umum 2018, satu klip video tentang warga Malaysia kelahiran Bangladesh itu menjadi tular di media sosial.
Dalam video itu, Aminul yang berpakaian kemas mengenakan sut dan tali leher (gambar bawah) dilihat terlibat dalam pertengkaran di sebelah kereta BMW putih yang hampir ditunda.
Individu yang merakam video mendakwa Aminul “membawa masuk ribuan orang ke Malaysia” dan “menguasai Hulu Kelang,” lokasi BMW yang dipandu anak Aminul bertembung dengan kenderaan lain.
“Saya tak peduli siapa awak,” kata individu dalam video tersebut yang menjadi tular bersama dakwaan Aminul menjadi proksi mewakili ahli politik berpengaruh yang mendapat manfaat daripada industri pekerja asing.
Dalam satu insiden lain pada 2017, Aminul mengaku tidak bersalah atas tuduhan menyerang Muhammad Nuraiman Danish Erwazri, 17 tahun, di kawasan lif Hotel Sunway Putra pada jam 3.30 pagi, 17 Jun. Aminul kemudian dibebaskan dengan jaminan.
Menurut rekod mahkamah, kes ini didengar lima kali antara 14 Ogos hingga 15 Disember 2017 di hadapan dua majistret, tetapi tiada perkembangan lanjut.
Rekod mahkamah tidak merekodkan keputusan kes tersebut dan Malaysiakini telah menghubungi pendaftar mahkamah untuk mendapatkan maklumat lanjut.
Pemeriksaan Malaysiakini mendapati insiden itu juga melibatkan anak Aminul manakala mangsa yang didakwa anak ahli perniagaan Marina Hashim, yang kemudian terlibat dalam perjanjian tanah Felda yang kontroversi pada 2018.
Ketika ditanya mengenai dua insiden berkenaan, Aminul enggan memberi komen. Dia juga menolak untuk ditemubual bagi artikel ini.
Mula dari bawah
Di sebalik kontroversi kecil itu, siapakah sebenarnya Aminul Islam?
Menurut lima orang dalaman industri di Malaysia dan Bangladesh yang bercakap dengan media Bangladesh Prothom Alo, Aminul pertama kali tiba ke Malaysia sebagai pekerja asing pada awal 1990-an.
Sebagai salah seorang daripada tujuh beradik, dia membesar dalam keadaan daif di daerah Brahmanbaria, Chittagong, Bangladesh, kira-kira 100km dari Dhaka, ibu kota negara itu dan kini dia memiliki sebuah rumah di sana.
Semasa lawatan ke situ pada Jun, penduduk tempatan menunjukkan sebuah bangunan empat tingkat bernama Plaza Aminul Islam di persimpangan Kalibari, Brahmanbaria, sebagai salah sebuah hartanah miliknya.
Dia juga memiliki sebuah bangunan komersial serupa di utara perhentian bas Pairtala yang dinamakan sempena nama bapanya dan diuruskan oleh abangnya.
Projek lain termasuk pembinaan sebuah masjid besar dan tujuh rumah untuk tujuh beradik, yang menurut penduduk tempatan dibiayai oleh Aminul.
Prothom Alo difahamkan sebanyak BDT 140,000 juta (RM5.21 juta) telah pun dibelanjakan untuk pembinaan tersebut, dengan projek itu diuruskan oleh adik lelaki Aminul, yang mengendalikan sebuah akhbar tempatan.
Memegang Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan dari Universiti Chittagong, Aminul mula terlibat dalam industri pekerja asing sebagai broker bagi seorang usahawan yang memiliki agensi buruh.
Laluan Aminul ke arah kewarganegaraan Malaysia bermula apabila dia berkahwin dengan wanita Malaysia, Rusilawati Mohamed Yusoff, yang dikenali dalam kalangan pemain industri sebagai Rosie.
Pasangan ini memulakan perniagaan dalam pengurusan pekerja asing.
Sekitar waktu ini, dia juga mula menjalinkan hubungan perniagaan dengan Ruhul Amin, yang berasal dari Brahmanbaria.
Ruhul, bekas setiausaha agung Persatuan Agensi Perekrut Antarabangsa Bangladesh (BAIRA), juga menghadapi tuduhan pengubahan wang haram.
Pihak berkuasa Bangladesh telah meminta kerjasama Malaysia untuk menangkap dan mengekstradisi Aminul dan Ruhul atas tuduhan ini, tetapi kedua-duanya menafikan dakwaan tersebut.
Tiga dekad selepas tiba di Malaysia, tiada siapa yang dapat menafikan perjalanan hidup Aminul dari permulaan sederhana hingga berjaya sebagai suatu yang luar biasa.
Kini, dia mempunyai pengaruh korporat yang besar dengan pegangan saham dalam berpuluh-puluh firma di Malaysia, melibatkan pelbagai industri termasuk IT, perkapalan, keselamatan, pengambilan pekerja, penjagaan kesihatan, pelancongan, penternakan lembu dan makanan.
Membina empayar
Walaupun terkenal sebagai pengasas Bestinet, Aminul telah mengambil langkah untuk mengurangkan pegangannya dalam syarikat tersebut, kini memiliki kurang satu peratus saham dalam Bestinet Sdn Bhd.
Namun, namanya masih dikaitkan dengan rangkaian syarikat yang luas, termasuk sekurang-kurangnya enam syarikat yang membawa nama "Bestinet".
Sebahagian syarikat ini merupakan anak syarikat JR Joint Resources, sebuah konglomerat yang ditubuhkan pada 1998.
Walaupun Aminul memegang saham beberapa setiap syarikat tersebut, pegangannya dalam syarikat induk JR Joint Resources minimum, kurang satu peratus.
Pemilik syarikat induk dan anak syarikat kelihatan bertindih pada pelbagai peringkat dan syarikat-syarikat ini menjalankan perniagaan sesama sendiri.
Sebagai contoh, pada tahun 2021, G3 Global Bhd sebuah syarikat tersenarai awam dengan Aminul sebagai pengarah, memperoleh 51 peratus kepentingan dalam Bestinet Healthcare - pengedar peralatan hospital, farmaseutikal dan bahan guna habis hospital - daripada Bestinet Technology.
Pada tahun berikutnya, Bestinet Healthcare memperoleh sekurang-kurangnya RM32 juta hasil daripada membekalkan dua juta kit ujian Covid-19 kepada sebuah agensi kerajaan.
Sejak itu, Bestinet Technology membayar G3 Global lebih RM70 juta setiap tahun untuk pelbagai perkhidmatan, termasuk perkhidmatan ujian Covid-19 yang komprehensif.
Perkhidmatan ini merangkumi pembekalan kit ujian, penyediaan kakitangan perubatan di tapak, penyelarasan makmal, serta pembangunan dan pengurusan sistem pengedaran dan penjejakan secara menyeluruh.
Pada April tahun ini, nama Bestinet Healthcare ditukar ke G3 Healthcare Sdn Bhd.
Kekayaan anak bapa
Anaknya, Muhammad Qhailiz Norman Aminul Islam yang belajar di sebuah sekolah antarabangsa di Kuala Lumpur dan universiti di London, berkemungkinan besar akan mewarisi empayar perniagaan bapanya.
Pada usia dua puluhan, Muhammad Qhailiz merupakan pemegang saham utama G3 Global Bhd, yang pada tahun 2022 memenangi kontrak bernilai RM118 juta untuk menyediakan sistem keselamatan bagi kedua-dua terminal KLIA.
Pada Jun tahun ini, anak syarikat G3 Global memperoleh konsesi selama 30 tahun untuk menyediakan asrama pekerja asing di Maldives.
Di bawah konsesi kerajaan Maldives, G3 Global akan mengenakan bayaran sebanyak AS$100 setiap pekerja bagi setiap bulan pada tahun pertama. Selepas itu, caj dinaikkan kepada AS$120 sebulan, dengan AS$5 daripada caj itu diserahkan kepada kerajaan Maldives.
Ini serupa dengan perjanjian FWCMS, dengan Bestinet mengutip yuran daripada setiap pekerja asing manakala kerajaan tidak dikenakan sebarang bayaran.
Saravanan: Aminul insan paling jujur
Seperti Bestinet, yang pada masa tertentu jawatan pengarahnya dipegang bekas timbalan menteri dalam negeri Azmi Khalid dan Tengku Muda Pahang Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah, G3 Global juga mempunyai tokoh-tokoh berpengaruh dalam lembaga pengarahnya.
Dalam G3 Global, Alias Ahmad, bekas ketua pengarah Jabatan Imigresen yang bersara daripada perkhidmatan awam sebagai ketua setiausaha Kementerian Pendidikan, kini memegang jawatan sebagai pengerusi eksekutif.
Seperti kebanyakan ahli perniagaan yang mempunyai urusan dengan kerajaan, Aminul juga dilihat sering bergaul dengan pegawai kerajaan dan menteri.
Foto dimuat naik di media sosial oleh bekas menteri sumber manusia M Saravanan menunjukkan dia menyambut Aminul dengan mesra.
Bersama mereka ketua pegawai eksekutif HRD Corp Shahul Hameed Shaikh Dawood yang kontroversi, serta beberapa ahli keluarga ketika Aminul melawat rumah Saravanan untuk Deepavali pada tahun 2023.
Satu lagi foto yang tular di media sosial menunjukkan mereka bersama Shahul didakwa bercuti bersama di Dubai Miracle Garden yang terkenal.
Turut kelihatan dalam foto itu Senator MIC dan Pengerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Haniffa Abdullah.
Ketika dihubungi, Saravanan menjelaskan dia tidak bercuti bersama ketiga-tiga individu tersebut, tetapi terserempak dengan mereka di Dubai ketika dia bercuti bersama keluarganya.
“Oleh sebab kami saling mengenali, kami bergambar bersama. Itu sahaja,” katanya kepada Malaysiakini.
Bekas menteri itu menyifatkan Aminul seorang yang “sangat mesra dan mudah didekati”, serta ahli perniagaan yang berjaya dan mengatakan “sesiapapun akan mudah tertarik dengan (Aminul).”
“Saya salah seorang daripada mereka. Hingga ke hari ini, kami masih kawan baik,” kata Saravanan, yang menggambarkan Aminul “salah seorang manusia paling jujur” yang pernah dikenalinya.
“Saya tidak tahu kenapa dia sering menjadi mangsa dari semasa ke semasa.
“Ramai orang yang lahir di tempat lain akhirnya menjadi rakyat Malaysia selepas berhijrah ke sini, tetapi hanya kerana dia berjaya, semua orang menyasarkannya,” kata pemimpin MIC itu.
Malaysiakini telah menghubungi Shahul Hameed dan Haniffa untuk mendapatkan komen mereka.
Nama Najib, Zahid disebut dalam kes saman
Usaha Aminul melobi untuk mendapatkan kontrak Sistem Pengurusan Pusat Pekerja Asing (FWCMS) disahkan dalam pertikaian undang-undang mengenai pegangan saham syarikat, yang melibatkan JR Joint Resources milik Aminul, dua pemegang sahamnya Mohd Zaki Jaafar dan SH Yahya Sh Mohamed, serta Mohamed Nizam Jakel Mohamed Jakel, pewaris empayar tekstil Kumpulan Jakel.
Pertikaian undang-undang ini menunjukkan ketekunan usaha Aminul dalam mencapai matlamatnya, walaupun memakan masa bertahun-tahun untuk menjadi kenyataan.
Walaupun Aminul tidak terlibat secara langsung dalam tuntutan saman di mahkamah itu, dia watak utama dalam kes tersebut.
Mahkamah diberitahu Aminul “penggerak utama pelbagai platform dan minda yang mengawal entiti-entiti berkenaan.”
Sebelum tuntutan mahkamah ini menarik perhatian media, JR Joint Resources telah dikritik kerana didakwa menyalahuruskan kontrak kerajaan untuk menguruskan pemulangan pekerja asing dalam program pengampunan.
Dalam tuntutan saman terhadap Nizam, Mahkamah Tinggi dimaklumkan Aminul pertama kali memperkenalkan idea FWCMS kepada perdana menteri ketika itu, Najib Razak, di Pusat Dagangan Dunia Putra pada tahun 2011 dan Najib bersetuju Aminul boleh mengemukakan idea itu kepada Kementerian Dalam Negeri.
Pada 2012, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri mengeluarkan surat memaklumkan Bestinet mengenai kelulusan kerajaan bagi pelaksanaan konsep tersebut.
Bagaimanapun, Nizam memberi keterangan di mahkamah bahawa pada akhir 2014, menantu Zahid Hamidi, Allahyarham Syed Alman Syed Alwi memintanya bekerjasama dengan Aminul dalam projek itu kerana “Bestinet menghadapi kesukaran dalam melaksanakan dan merancang strategi projek untuk kerajaan Malaysia.”
Beberapa bulan kemudian, pada pertengahan 2015, Nizam menawarkan perkhidmatannya kepada Aminul sebagai “perunding” yang mempunyai hubungan kepada “individu berpengaruh” dan pegawai kanan, dengan bayaran RM200 juta.
Namun, Aminul memberi keterangan di mahkamah, dia akhirnya merasakan Nizam tidak melakukan cukup untuk dia mendapatkan bayaran berkenaan.
Aminul juga mendakwa lebih 30 mesyuarat yang dikatakan Nizam untuk memudahkan projek FWCMS sebenarnya merupakan perbincangan mengenai urusan perniagaan Jakel.
Paksaan dalam pegangan saham Bestinet
Kemudian, pada tahun 2017, Nizam cuba untuk menguasai projek tersebut sepenuhnya dengan mendaftarkan syarikatnya sendiri yang dinamakan FWCMS Sdn Bhd.
Mahkamah diberitahu Nizam menunjukkan kepada Aminul surat yang bertajuk syarikat ini dengan notis daripada menteri dalam negeri ketika itu, Ahmad Zahid Hamidi, yang mengarahkan agar perjanjian FWCMS diberikan kepada syarikat tersebut.
Nizam kemudian mencadangkan agar perjanjian perkhidmatan perundingan bernilai RM200 juta dibatalkan sebagai ganti kawalan ke atas Bestinet.
Akhirnya, dia bersetuju untuk menerima 49 peratus saham Bestinet, 70 peratus saham dua syarikat berkaitan lain, Tass Tech Sdn Bhd dan Synerflux Sdn Bhd, serta perjanjian perkongsian keuntungan.
Tass Tech, sebuah syarikat IT dan sebuah agensi buruh Synerflux, dimiliki oleh plaintif dan dilaporkan pada tahun 2017 hampir memenangi kontrak kerajaan.
Perjanjian tersebut disusun untuk memindahkan saham kepada isteri Nizam, Norhana Sharkhan, selepas itu FWCMS Sdn Bhd ditutup.
Namun, JR Joint Resources, syarikat yang memiliki Bestinet mencabar perjanjian itu selepas kejatuhan kerajaan BN pada tahun 2018.
Mahkamah mendapati perjanjian ini tidak sah kerana ia disusun di bawah paksaan dan ancaman.
Pertikaian undang-undang untuk menguasai Bestinet, walaupun sebelum perjanjian FWCMS ditandatangani, menekankan betapa projek ini amat menguntungkan.
Setakat ini, FWCMS telah memenuhi janji membuat keuntungan bernilai jutaan ringgit.
Menurut penyata terkini yang difailkan kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Bestinet mencatatkan pendapatan yang belum diagihkan sebanyak RM128 juta dan meraih keuntungan sebanyak RM85 juta daripada pendapatan RM138.92 juta dalam tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022.
Sebenarnya, perkembangan terkini mendedahkan bahawa pendapatan Bestinet sepatutnya mencecah berbilion ringgit.
Baru-baru ini, Bestinet menghantar surat tuntutan kepada kerajaan sebanyak RM1.63 bilion, yang dikatakan tidak dibenarkan untuk dikutip daripada pekerja asing sepanjang tempoh tiga tahun.
Bagi mengelakkan saman yang boleh memberi kesan kewangan yang buruk, kerajaan memutuskan untuk melanjutkan perjanjian FWCMS.
Setelah memperoleh pembaharuan perkhidmatan FWCMS untuk enam tahun lagi - dan dengan kenaikan bayaran daripada RM100 kepada RM215 setiap pekerja - maka lebih banyak lagi keuntungan menyusul.
Mohiuddin Niloy (Prothom Alo) dan Aidila Razak, B Nantha Kumar, Hariz Mohd, S Vinothaa dan Koh Jun Lin (Malaysiakini) turut menyumbang kepada laporan ini.