Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Warga emas berumur 60 tahun ke atas kini berluang melibatkan diri dalam Program Senior Internship bersama pejabat Adun Subang Jaya yang akan bermula pada Januari tahun depan.

“Jadi internship ini merupakan satu cara untuk masih memanfaatkan pengalaman dan juga pengetahuan yang warga emas memiliki,” kata Adun Subang Jaya Michelle Ng Mei Sze kepada Malaysiakini.

“Program Senior Internship ini juga mereka terdedah kepada kerja-kerja yang dibuat oleh seorang Adun dari segi pusat khidmat dan juga penggubalan undang-undang.

“Kita sebagai satu negeri iaitu Selangor dan juga negara sedang menuju ke arah satu masyarakat menua dan perkara ini telah mendapat perhatian di setiap peringkat kerajaan iaitu kerajaan perseketuan, kerajaan negeri dan juga kerajaan tempatan dengan keadaan begini maka kita sebagai pengubah dasar juga perlu melihat semula dasar-dasar kita dari semua aspek," jelasnya.

Gambar hiasan.

Katanya melalui program tersebut akan memanfaatkan pengetahuan dan pengalaman kebanyakan pesara.

“Memandangkan teknologi dari segi perubatan yang makin maju, maka walaupun mereka lebih daripada 60 tahun tetapi masih bertenaga dan masih boleh menyumbang kepada masyarakat cuma atas sebab-sebab dasar syarikat yang mereka dulu bekerja maka mereka terpaksalah bersara," katanya.

Selain itu, Ng berkata kebanyakan warga emas menghadapi sindrom kesunyian apabila anak-anak mereka tidak lagi tinggal dengan mereka.

“Jadi pekerjaan ini merupakan salah satu cara untuk membawa mereka keluar daripada rasa keseorangan tersebut.

“Jadi, ia akan menjadi dua cara di mana selain daripada kita memanfaatkan apa yang mereka miliki dari segi pengetahuan dan pengalaman kita juga beri balas balas dari segi memberi mereka satu platform supaya mereka boleh terus menyumbang dan pada masa yang sama tidak akan rasa sunyi di rumah,” katanya lagi.

Menurut Ng, tempoh masa penyesuaian berlangsung selama seminggu dan jika sesuai warga emas yang berminat boleh meneruskan 'internship' itu untuk tiga bulan.

Teruja nak mulakan program

“Kita tiada had Melayu, Cina, India, Kadazan, Dusun siapa yang belum memohon boleh memohon, tak ada masalah,” katanya.

Dia juga berkata Program Senior Internship memberi peluang kepada pusat khidmat dan dirinya untuk belajar daripada para pesara berpengalaman yang berkenaan.

“Jadi saya juga memandang ke hadapan kepada apakah cadangan atau perubahan ataupun penambahbaikan yang mereka ingin ketengahkan ataupun nasihat yang mereka ingin ketengahkan supaya kita boleh bersama-sama membinakan masyarakat Subang Jaya," katanya.

Jelas Ng lagi, dia gembira kerana tidak menyangka akan menerima banyak permohonan untuk program itu dan pihaknya akan memberi peluang kepada seramai peserta yang boleh.

“Kita telah tetapkan RM35 sehari, tempoh bekerja minimum lima hari di pejabat,” kata Ng.

“Saya sebagai Adun ingin memanfaatkan pengalaman dan juga pengetahuan yang warga emas mempunyai jadi saya berharap supaya mereka jangan terlepas peluang emas ini dan saya juga sangat teruja untuk memulakan program ini.

“Saya berharap mereka juga bersama dengan saya sebab tidak ada orang yang pernah buat program seperti ini dan saya harap mereka juga sudi untuk bekerjasama dengan pejabat saya dan kerajaan supaya kita boleh bersama-sama membina dan mengembalikan manfaat kepada masyarakat,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS