Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mungkin Bung juga perlu undur - Pemuda PBS
Diterbitkan:  Dec 5, 2024 7:45 AM
Dikemaskini: 11:45 PM

Umno Sabah perlu menilai kedudukan mereka sendiri sebelum menuntut Ketua Menteri Hajiji Noor meletakkan jawatan susulan dakwaan skandal projek mineral, kata Ketua Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS), Christopher Mandut.

Mandut turut menegaskan bahawa Pengerusi Umno Sabah, Bung Mokhtar Radin, dan isterinya Zizie Izette juga sedang berdepan kes rasuah berkaitan pelaburan Felcra Bhd.

"Jika Sabah Umno mendesak pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk meletakkan jawatan, pengerusi mereka sendiri juga seharusnya berundur bagi membolehkan siasatan yang telus dan bebas dijalankan ke atas dakwaan rasuah beliau,” katanya dalam satu kenyataan.

Mandut membalas kenyataan Ketua Pemuda Umno Sabah Sufian Abd Karim, yang turut menyeru siasatan menyeluruh terhadap Sabah Mineral Management (SMM) yang dimiliki kerajaan negeri dan dipengerusikan oleh Hajiji.

Sayap Wanita dan Puteri Umno Sabah sebelum ini turut menyeru Hajiji untuk meletakkan jawatan sebagai ketua menteri.

Bagaimanapun, Mandut menggesa Sabah Umno untuk "melihat diri sendiri di cermin" sebelum membuat tuntutan seperti itu.

Jelasnya, Hajiji telah beberapa kali memberi jaminan bahawa dakwaan rasuah tersebut telah dirujuk kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Ketua menteri telah berjanji untuk memberikan kerjasama penuh kepada siasatan SPRM. Adakah Sufian meragui kredibiliti SPRM?

Hajiji ikhlas

"Mengapa mendesak ketua menteri meletakkan jawatan apabila beliau telah pun komited kepada ketelusan,” soalnya.

Mandut berkata kenyataan Hajiji yang mengatakan dia “tiada apa yang hendak disembunyikan” mencerminkan keikhlasan dan komitmennya terhadap kebenaran.

“Jika benar Ketua Umno Sabah juga tiada apa yang hendak disembunyikan, mungkin beliau juga patut berundur bagi membolehkan SPRM menyiasat kes rasuahnya tanpa prejudis,” tegas Mandut.

Ketua Pemuda Umno Dr Muhamad Akmal Saleh malam tadi turut berkata Hajiji perlu berundur sekiranya tuduhan terhadap beliau atau anggota pentadbirannya mempunyai asas.

Sementara itu, Timbalan Presiden Warisan Darell Leiking menyeru SPRM untuk menahan reman individu yang terlibat, berkata "proses siasatan berkemungkinan akan mendedahkan kesalahan mereka, jika ada."

Pentadbiran Hajiji menjadi tumpuan selepas seorang pemberi maklumat mendedahkan tujuh video yang didakwa mengandungi perbincangan dengan pelbagai Adun mengenai dakwaan rasuah yang diberikan kepada mereka untuk mendapatkan lesen penerokaan mineral.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS