Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor sekali lagi menegaskan pentadbirannya tidak akan tunduk terhadap “ancaman politik” susulan pendedahan dakwaan skandal rasuah melibatkan Adun negeri itu.
"Saya ingin memberi jaminan kepada seluruh rakyat Sabah bahawa pentadbiran saya kekal berpegang kepada prinsip keadilan, ketelusan, dan kejujuran.
"Marilah kita bersama-sama memastikan kerajaan ini terus bertanggungjawab, responsif, dan fokus kepada keperluan rakyat demi masa depan Sabah yang lebih maju dan sejahtera," katanya pada satu kenyataan malam ini.
Menurutnya, penyebaran video yang mengaitkan Adun Sabah dengan rasuah dijadikan propaganda politik oleh pihak-pihak tertentu dengan niat jahat “untuk mencetuskan kekeliruan dan menggugat kestabilan politik.”
"Perbuatan mengaitkan rakaman video yang telah disunting dan disebarkan dengan niat jahat, termasuk ancaman berbentuk pemerasan jenayah, adalah tindakan terdesak yang bertujuan mencemar nama baik kerajaan dan menjejaskan kestabilan politik Sabah," katanya lagi.
Malaysiakini semalam mendedahkan tujuh video penuh dan salinan-salinan dokumen daripada pemberi maklumat berkaitan dakwaan skandal rasuah negeri.
Ia mengandungi rakaman perbualan mengenai pemulangan wang suapan yang diberikan kepada ahli politik untuk mendapatkan sokongan bagi permohonan lesen penerokaan perlombongan mineral.
Sementara itu, Hajiji berkata pentadbirannya tidak pernah mengeluarkan lesen melombong (mining lease) kepada mana-mana pihak.
"Sebarang dakwaan bahawa lesen melombong telah diberikan adalah tidak benar sama sekali.
"Setakat ini, kerajaan hanya mengeluarkan prospecting license yang bertujuan untuk penerokaan dan pengumpulan data geomineral," katanya.
Hajiji menjelaskan permohonan kumpulan tersebut melibatkan tanah yang sangat luas, hampir satu juta ekar.
"Sebahagian besar kawasan itu adalah kawasan perlindungan sepenuhnya (totally protected areas), kawasan tadahan air, dan kawasan pemeliharaan.
Undur jika siasatan SPRM ada merit
"Apabila permohonan mereka tidak berjaya, beberapa klip video telah disebarkan sebagai usaha untuk mengancam Kerajaan Negeri.
"Tuduhan bahawa wakil rakyat meminta habuan atau melakukan salah laku berkaitan isu ini adalah tidak berasas," tegasnya.
Gesaan supaya Hajiji berundur ekoran terbongkarnya video-video didakwa sebagai bukti berlaku amalan rasuah di Sabah mula diutarakan minggu ini.
Ketua Pemuda Umno Malaysia, Dr Akmal Saleh hari ini berkata Hajiji wajar meletakkan jawatan jika Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) percaya ada merit dalam dakwaan rasuah yang dikaitkan dengan Ketua Menteri Sabah itu atau anggota kerajaannya.
Terdahulu Pemuda Umno Sabah sendiri mengeluarkan kenyataan mendesak agar Hajiji meletakkan jawatan agar siasatan boleh dijalankan secara bebas dan telus.
Kata Pemuda Umno Sabah lagi, hasil siasatan itu juga perlu didedahkan kepada rakyat kerana mereka berhak mengetahui apa sebenarnya yang berlaku di Sabah.
Petang tadi Parti Warisan Sabah meminta SPRM menahan remah individu yang terkait dengan skandal tersebut bagi membolehkan siasatan menyeluruh dijalankan.
Timbalan Presiden Warisan, Darell Leiking (gambar atas) berkata kadangkala kebenaran boleh muncul selepas seseorang itu ditahan reman.
"Proses siasatan berkemungkinan akan mendedahkan kesalahan mereka, jika ada," katanya.
Dia juga beranggapan. tidak seperti negeri lain di Malaysia, isu rasuah di Sabah sudah mencapai tahap kritikal.
Sementara itu Umno Sabah dan Warisan menafikan mereka ada sebarang kaitan dengan pemberi maklumat, yang mendakwa dia bertindak kerana kecewa.