Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Amat menyakitkan - Najib kecewa dakwaan Husni
Diterbitkan:  Dec 4, 2024 9:22 PM
Dikemaskini: 1:22 PM

Datuk Seri Najib Razak berkata dakwaan Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah bahawa beliau telah mengarahkan bekas Menteri Kewangan II itu agar tidak campur tangan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) adalah tidak benar sama sekali.

Beliau berkata dakwaan itu tidak disokong oleh bukti berdokumen dan dengan sengaja mengabaikan penglibatan aktif Ahmad Husni serta ketiadaan bantahan berhubung isu 1MDB semasa mesyuarat kabinet.

"Saya tidak pernah mengeluarkan arahan sedemikian kepada Datuk Seri Ahmad Husni. Mendengar keterangan Datuk Seri Husni (sebagai saksi pendakwaan) dan dakwaan yang dilontarkan beliau terhadap saya amat mengecewakan.

"Datuk Seri Husni adalah individu yang saya sendiri pilih untuk menjadi Menteri Kewangan II pada April 2009, satu jawatan penting dengan amanah dan tanggungjawab yang begitu besar," katanya semasa membacakan jilid pertama pernyataan saksi beliau setebal 525 halaman.

Bekas Perdana Menteri itu berkata semasa menjadi Presiden Umno, beliau turut melantik Ahmad Husni (gambar atas) sebagai Bendahari Umno, satu jawatan yang mencerminkan keyakinannya terhadap keupayaan dan integriti Ahmad Husni.

"Kesemua keputusan ini tidak dibuat dengan mudah, mereka adalah berdasarkan kepercayaan bahawa beliau akan berkhidmat kepada negara dan parti dengan penuh setia dan kehormatan. Mendengar tuduhan sedemikian daripada seseorang yang saya amanahkan jawatan penting adalah amat menyakitkan.

Semasa pemeriksaan utama oleh peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah (gambar bawah), Najib berkata Ahmad Husni kecewa dengan keputusan beliau untuk menukarkannya ke kementerian lain.

"Beliau kecewa dan saya percaya beliau masih ingin kekal sebagai Menteri Kewangan II namun saya berhasrat memindahkan beliau untuk menjadi Menteri Ekonomi atau Menteri yang bertanggungjawab terhadap perumahan," katanya.

Najib juga bersetuju dengan cadangan peguam bahawa ini adalah amalan standard bagi memastikan menteri menimba pengalaman dalam pelbagai kementerian.

Ini merupakan hari ketiga bekas Ahli Parlimen Pekan itu memberi keterangan ketika membela diri terhadap empat pertuduhan menggunakan kedudukan bagi mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Pada 30 Okt lepas, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah memerintahkan Najib membela diri atas kesemua 25 pertuduhan selepas memutuskan bahawa pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Perbicaraan bersambung esok.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS