Bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) Sabah Mineral Management Sdn Bhd (SMM), Jontih Enggihon, mendedahkan beliau akan memfailkan saman RM30 juta terhadap penggantinya Natasha Sim dan pegawai lain syarikat itu.
Katanya ia adalah sebagai tindak balas terhadap SMM yang menuduhnya melakukan penipuan, salah laku dan pelanggaran kewajipan fidusiari, serta memulakan tindakan undang-undang terhadapnya.
Jontih juga mendakwa bahawa seorang pengarah dari sebuah syarikat terkenal Indonesia mengesahkan bahawa Sim, suaminya, dan seorang lagi pegawai SMM menaiki jet peribadi yang membawa beberapa inividu ke Balikpapan, Indonesia, pada Ogos lalu.
“Selepas mengesahkan dengan salah seorang pengarah dari syarikat utama Indonesia semalam, kehadiran Natasha (Sim) dan (pegawai lain) dalam penerbangan itu disahkan.
“Bagaimanapun, menurut pengarah itu, mereka tiada dalam senarai jemputan, dan beliau tidak mengetahui kehadiran mereka.
"Ini sangat mencurigakan dan tidak masuk akal,” katanya dalam kenyataan.
Minggu lalu, Jontih membuat laporan polis terhadap Sim berhubung perjalanan itu yang dianggarkan menelan belanja sekitar RM400,000.
Dia mendakwa Sim - yang merupakan Ketua Pegawai Strategi SMM pada masa itu - menerima pelawaan perjalanan itu tanpa mendedahkannya kepada pengurusan atau SMM.
Ketika itu Jontih masih lagi menjadi CEO SMM.
Perjalanan itu juga didakwa melibatkan peniaga kayu Elbert Lim, dan dua anaknya. Laporan itu menyebut Lim dan syarikat Indonesia terbabit sedang memohon lesen mencari gali daripada SMM.
Sim telah menafikan dakwaan itu dan menyifatkan ia sebagai “dakwaan tidak berasas dan berniat jahat". Dia menambah dakwaan itu kelihatan sengaja bertujuan untuk merosakkan reputasinya.
Sementara itu dalam reaksinya, Sim berkata SMM tetap berpegang teguh pada kenyataan rasmi syarikat itu sebelum ini yang menyatakan salah lakunya Jontih.
“Kami akan meneruskan tindakan undang-undang.
“Mengenai serangan peribadi dan berniat jahat terhadap saya, dia sepatutnya boleh menjangkakan saman fitnah akan difailkan terhadapnya,” kata Sim
Malaysiakini tidak menyiarkan nama pegawai SMM yang lain untuk sementara bagi menunggu jawapan komen mereka.
Mahu siasatan dijalankan
Jontih mendakwa maklumat terkini mendedahkan bahawa Sim dan pegawai lain telah "bersubahat" sejak Ogos atau lebih awal untuk menjeratnya demi kepentingan peribadi mereka.
"Mereka berkemungkinan besar bersubahat dengan pihak ketiga untuk memanipulasi perkara ini," tambahnya.
Ketika membela diri, Jontih mendakwa bahawa dakwaan terhadapnya adalah palsu dan dia mempunyai bukti untuk menyokong dakwaan yang dibuat ke atas Sim dan pegawai lain.
“Saya mempunyai bukti kukuh mengenai rakaman suara yang (pegawai lain) dengan sengaja menyediakan minit mesyuarat dan/atau dokumen masing-masing yang menyalah tafsir keputusan lembaga untuk memerangkap saya denga tuduhan itu manakala Sim sengaja menggunakan dokumen lapuk yang bertujuan untuk menipu pengurusan dan lembaga SMM.
“Motif mereka sangat jelas selepas dikaitkan kembali dengan perjalanan jet peribadi yang istimewa.
"Mereka telah melanggar tanggungjawab masing-masing sebagai pegawai awam dan juga piawaian tadbir urus dengan teruk,” tambahnya.
Jontih yang ditemani peguamnya turut memfailkan laporan kepada SPRM berhubung terhadap Sim dan pegawai lain petang ini.
“Saya menggesa pihak berkenaan untuk menjalankan siasatan mendalam berhubung kejadian ini. Ia adalah jenayah berat.
"Pengumuman SMM dan tuduhan tidak berasas telah merosakkan reputasi saya dan menyebabkan saya mengalami kerosakan mental yang tidak boleh dipulihkan," tambahnya.
Oleh itu, kata Jontih, dia sedang bekerjasama dengan seorang peguam untuk memulakan saman sivil terhadap SMM, Sim, dan pegawai SMM yang lain untuk "ganti rugi reputasi, kerosakan mental, dan kesedihan" yang didakwa disebabkan oleh mereka.
“Saya akan memfailkan tuntutan RM10 juta secara berasingan terhadap mereka, dengan jumlah keseluruhan RM30 juta,” katanya.
Mengenai laporan SPRM yang dibuat terhadapnya, Jontih berkata dia akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa kerana yakin tidak melakukan sebarang kesalahan.
"Dan keadilan akan ditegakkan," katanya.
Jontih juga sudah membuat laporan SPRM terhadap Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor yang didakwanya menyalahgunakan kuasa, dan mendakwa mempunyai bukti berhubung perkara tersebut.
"Saya mempunyai minit mesyuarat Lembaga Pengarah SMM, mencetak nota taklimat kepada ketua menteri dan pesanan teks daripada ketua menteri," katanya.