ULASAN | Dalam Forum Sosialisme bertemakan "Madani Untuk Siapa?" anjuran Parti Sosialis Malaysia (PSM) pada Nov lalu, Dr Jeyakumar Devaraj membentang kertas kerjanya.
Turut berkongsi pandangan pada program itu ialah mantan Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago.
Pembentangan oleh Jeyakumar itu mendapat sambutan yang baik.
Setelah dokumen itu diedarkan kepada ramai pemerhati politik - termasuk penyokong PH dan kerajaan Madani - saya sedikit terharu apabila ramai penyokong parti pemerintah yang mengatakan bahawa tulisan tersebut komprehesif, matang dan berisi.
Ada juga pihak yang memaklumkan bahawa mereka akan memanjangkan tulisan tersebut kepada perdana menteri. Yang lain pula berpendapat bahawa pakar-pakar yang menasihati Anwar Ibrahim itu terlalu dipengaruhi oleh pemikiran neoliberal Barat.
Jadi, saya berasa agak pelik membaca tulisan Rusdi Omar, “Retorik antineoliberal PSM tidak realistik”, yang diterbitkan Malaysiakini pada 3 Dis lalu.
Dalam tulisannya, Rusdi mendakwa bahawa “Jeyakumar menyerang dasar dan pelaksanaan agenda kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, dengan tuduhan bahawa pendekatan kerajaan gagal menangani isu ekonomi, keadilan sosial dan penjajahan ekonomi era moden".
Tulisan Jeyakumar itu disokong dengan data dan statistik, berbanding ulasan daripada Rusdi yang hanya berhujah dengan menggunakan label, slogan dan retorik tanpa sebarang bukti, nota kaki mahupun sumber.
Menurut Jeyakumar, masalah ekonomi yang dihadapi oleh orang ramai – iaitu golongan B40 dan M40 – tidak berkurangan dalam tempoh dua tahun lalu. Pandangan itu memang disokong oleh pelbagai tinjauan pendapat yang dikeluarkan selama ini.
Rusdi mungkin berada dalam sindrom penafian.
Dalam debat Presiden AS, Joe Biden dan Kamala Harris mengatakan bahawa ekonomi negara itu telah pulih di bawah pemerintahan kerajaan mereka, tetapi rakyat merasakan kesakitan kerana inflasi.
Maka pengundi AS menghukum parti pemerintah dengan memilih Donald Trump.
Justeru kritikan Jeyakumar sepatutnya dilihat dengan lebih teliti sebagai satu amaran, bukannya bersifat peribadi.
Minta bina kekuatan serantau
Dalam forum yang sama, Charles - seorang ahli DAP - mengatakan pertambahan kos gaji kerana peningkatan kadar gaji minimum kepada RM1,700 hanyalah 1.5 peratus bagi majikan.
Dia berpandangan bahawa gaji minimum patut ditingkatkan kepada kadar yang lebih tinggi. Malah, PSM sendiri sebelum ini- menggunakan formula kerajaan dalam pengiraan gaji minimum dan statistik daripada Jabatan Perangkaan Malaysia(DOSH) - mengatakan bahawa gaji minimum sepatutnya ialah RM2,444.
Malah, pembentangan Jeyakumar mengatakan bahawa Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) meningkat 24 kali ganda dalam nilai sebenar antara 1970 hingga 2020, sementara gaji median pekerja hanya meningkat 2 kali ganda.
Pada masa yang sama, jumlah hasil kerajaan turun daripada 30 peratus KDNK pada 1980-an kepada 15 peratus KDNK sekarang.
Oleh itu, hujah Rusdi bahawa antara inisiatif kerajaan Madani ialah peningkatan gaji minimum itu adalah tidak memadai. Peluasan perlindungan sosial itu sebenarnya tidak ada, manakala pelaburan strategik dalam pendidikan serta kemudahan kesihatan lebih cenderung untuk membebankan rakyat dan mencari keuntungan.
Rusdi mengatakan bahawa tulisan Jeyakumar hanya menuding jari dan mencerminkan pendekatan berat sebelah. Itu juga tidak tepat kerana Jeyakumar berkata, trend yang sama juga berlaku di negara-negara jiran apabila mereka mengurangkan kadar cukai korporat lebih banyak berbanding Malaysia.
Jeyakumar meminta kerajaan supaya jangan terlalu asyik menumpukan usaha menarik lebih banyak pelaburan langsung asing (FDI) hanya kerana itu adalah suatu norma di dunia.
Dia menyarankan Malaysia dan Asean membina kekuatan serantau kerana pakatan itu mempunyai populasi yang besar. Kita tidak perlu bersedekah kepada Eropah dan Dunia Pertama untuk FDI.
Ini adalah pandangan jauh dan mungkin juga di luar minda pengkritik yang sudah lama taasub kepada sistem kapitalisme neoliberal yang pernah disifatkan sebelum ini sebagai “TINA” (There is no alternative).
Namun pada hari ini, pelbagai usaha di Amerika Selatan dan juga beberapa idea daripada BRICS adalah bertujuan untuk mengurangkan dominasi negara-negara maju dan kebergantungan kita pada mereka.
Langsung tiada sambutan
Rusdi cuba berhujah bahawa cadangan Jeyakumar untuk “melawan penjajahan ekonomi” dengan mengabaikan FDI dan mengutamakan pendekatan proteksionisme akan meminggirkan Malaysia daripada arus perdana ekonomi global, sekali gus merugikan rakyat.
Namun pada hari ini, ramai yang lebih takut kepada retorik Anwar dalam isu Gaza yang lebih membawa padah kepada hubungan Malaysia dengan negara Barat.
PSM menyokong pendirian perdana menteri dalam isu Palestin dan apa yang dititikberatkan dalam kertas pembentangan Jeyakumar ialah, Malaysia harus lebih mengutamakan pemerkasaan Asean untuk kesejahteraan rakyat, bukannya ekonomi global yang berat sebelah.
Yang amat melucukan dalam kritikan Rusdi itu ialah apabila dia berkata bahawa Jeyakumar tidak menyediakan alternatif yang konkrit serta boleh dilaksanakan. Jika dibaca dengan hati yang terbuka, sudah pasti kita mendapati tulisan tersebut penuh dengan cadangan.
Rusdi mengulangi kerisauan sektor perniagaan kecil dan sederhana (PKS) dan gaji minimum. Semua statistik dan peningkatan gaji minimum sebelum ini telah membuktikan bahawa peningkatan gaji tidak pernah memberi kesan kepada sektor PKS seperti yang sering kali digertak oleh sesetengah pihak.
PSM sebelum ini meminta kerajaan untuk memberikan insentif penting (essential) kepada PKS supaya mereka boleh membayar gaji minimum.
Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Malaysia sendiri terlibat dalam 40 peratus ekonomi dan perdana menteri sudahpun menyeru mereka untuk membayar gaji lebih tinggi daripada kadar gaji minimum.
Mungkin Rusdi belum lagi terbaca bahawa gaji progresif yang diuar-uarkan oleh perdana menteri dan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli langsung tidak mendapat sambutan.
Setelah enam bulan dilancarkan, hanya 5 daripada 236 syarikat yang ditinjau telah memohon untuk program perintis tersebut.
Cadangan “Bandung Kedua” daripada Rusdi pula adalah berlandaskan semangat yang dibawa dalam Persidangan Bandung 1955 untuk membebaskan Dunia Ketiga daripada cengkaman ekonomi Barat.
Beri banyak contoh kegagalan
PSM meminta kerajaan untuk mempertimbangkan pendekatan ini, tetapi Rusdi berkata bahawa gagasan tersebut terlalu utopia tanpa mekanisme praktikal serta mengetepikan usaha-usaha kerjasama yang telah dilakukan oleh pemimpin Asean selama ini.
Aduhai! Jika kita benar-benar membaca kertas kerja Jeyakumar, maka kita akan memahami bahawa usaha yang dicadangkan ialah untuk membina kekuatan Asean.
Yang utopia hanyalah minda Rusdi yang terperangkap dalam sindrom penafian dan pada masa sama cuba mengampu dasar kerajaan Madani tanpa fakta dan bahan.
Rusdi juga tidak boleh menerima hujah bahawa Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) merupakan alat Dunia Pertama memperhambakan Dunia Ketiga dengan hutang. Jeyakumar dalam kertas kerjanya memberikan banyak contoh kegagalan Bank Dunia dan IMF.
Mungkin Rusdi terlupa bahawa semasa krisis kewangan dahulu, negara kita lebih cepat pulih berbanding dengan negara lain di Asia. Hal itu kerana kita berdikari dan tidak mengikut telunjuk IMF.
Mungkin Anwar sebagai menteri kewangan ketika itu akan faham posisi yang diambil oleh Dr Mahathir Mohamad untuk menyelamatkan negara ini.
Rusdi berkata kerajaan Madani membelanjakan RM20 bilion hingga RM22 bilion setahun untuk program dan inisiatif membasmi kemiskinan. Program seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (Sara), Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR), inisiatif perumahan mampu milik dan pengembangan akses kepada pendidikan dan kesihatan berkualiti adalah bukti komitmen kerajaan terhadap rakyat biasa.
PSM tidak pernah mengkritik sebarang cadangan ini, malah kami berpendapat sumbangan berbentuk handout yang populis harus digantikan dengan program yang lebih jitu, seperti pencen warga emas, peningkatan gaji minimum, perlindungan yang lebih menyeluruh oleh Pertubukan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan sebagainya.
Beri pandangan mantap, matang
Rusdi berkata bahawa retorik antineoliberal perlu diseimbangkan dengan kesedaran tentang realiti globalisasi. Dia setuju bahawa bukan mudah untuk keluar daripada sistem ekonomi global yang telah mengakar.
Oleh itu, apa yang disarankan oleh PSM bukanlah polisi-polisi radikal seperti pemiliknegaraan dan pemusatan kuasa. Polisi yang dilontarkan oleh PSM sekarang lebih bersifat membentuk negara kebajikan untuk memastikan pengagihan kekayaan negara yang lebih saksama.
Untuk pengetahuan Rusdi, Malaysia adalah antara negara yang mempunyai jurang pendapatan yang paling besar di Asia Tenggara.
PSM mahu negara kita berdikari bersama negara Asean yang lain. Kita tidak perlu mengampu Barat, sebaliknya perlu cuba membina kekuatan sendiri.
Jika kritikan Rusdi terhadap tulisan Jeyakumar adalah kerana ia serangan melulu, maka dia harus melihat kepada tulisannya sendiri yang langsung tidak memberikan sebarang bukti untuk menyokong pendiriannya.
Sebaliknya dia hanya mengulangi karangan-karangan yang dibuat oleh pelajar sekolah menengah apabila menulis rencana dengan menampal hujah-hujah daripada dapatan carian Google.
Mungkin Rusdi tidak membuat kajian dan tidak mengetahui bahawa semasa Jeyakumar menjadi ahli parlimen, dia dipuji oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat sebagai kerana selalunya membuat penyelidikan dan memberikan pandangan yang mantap serta matang.
Mungkin itulah yang menyebabkan kadangkala pengkritiknya tidak memahami kandungan pandangannya yang berisi itu.
S ARUTCHELVAN ialah Timbalan Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM).
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.